SKUDAI - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menjana pendapatan sebanyak RM15 juta dalam tempoh lapan tahun dari hasil pengkomersilan produk penyelidikan yang dibangunkan universiti berkenaan.
Naib Canselornya, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, sebanyak 69 produk penyelidikan universiti itu dikomersilkan sejak tahun 2007 dan mereka sedang menggandakan usaha menjalin kerjasama dengan pihak industri bagi menarik lebih banyak produk penyelidikan dapat dipasarkan.
“Kita masih belum dapat hasil yang besar menerusi pengkomersilan penyelidikan kerana beberapa faktor termasuk modal yang besar bagi membangunkan ia menjadi produk di pasaran kerana projek yang kita hasilkan adalah di peringkat prototaip sahaja.
“Tetapi kita juga mendapat hasil lain dari segi khidmat sebagai konsultan dan kerjasama bersama pemain industri yang mendapatkan khidmat kepakaran kita dalam penyelidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pameran Seni Perindustrian dan Teknologi (Inatex) Kali ke-17 di Dewan Sultan Iskandar, UTM di sini, baru-baru ini.
Wahid berkata, penganjuran pameran berkenaan secara tidak langsung menjadi platform untuk menarik minat pemain industri membuat pelaburan bagi membangunkan penyelidikan universiti itu sebagai produk komersil dan dipasarkan kepada pengguna.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan UTM, Prof Dr Ruzairi Abd Rahim berkata, sebanyak 96 produk reka cipta inovasi baru yang dihasilkan 77 penyelidik dipamerkan pada pameran berkenaan termasuk reka cipta oleh pelajar dari tiga sekolah menengah.
-Sinar Harian
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.