Menu

IKLAN


BAGAN DATOH: Seramai 2,991 pelajar terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar kawasan ini menerima bantuan persekolahan sumbangan Balqis Textile dalam satu majlis yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Bagan Datoh, di sini, petang tadi.

Majlis Penyampaian Barangan Bantuan Persekolahan itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh dalam ucapan perasmiannya berkata, meskipun program itu dianjurkan oleh UMNO, pemberian sumbangan itu tidak diberi berdasarkan parti.

Katanya, tanggungjawab mencari ilmu adalah penting untuk memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat.

"Saya harap, ibubapa yang ada pada hari ini, hargai anak-anak mereka sebagai aset. Kita 'laburkan' di dalam pendidikan, pasti ada pulangannya nanti.

"Kita kena ingat, kalau ingin berjaya di dunia, kena ada ilmu. Kalau ingin berjaya di akhirat, juga kena ilmu,"ujarnya.

Tambahnya lagi, pelajar-pelajar yang berasal dari Bagan Datoh tidak perlu berasa malu berasal dari kawasan ini walaupun kawasan  tersebut hanya satu kawasan yang terpencil.

"Kita tak perlu malu kalau datang dari kawasan yang terpencil atau keluarga yang miskin. Itu akar umbi kita, tak boleh dilupakan sampai bila-bila,"tegasnya.

Sementara itu, Mahdzir dalam ucapannya berkata, sudah menjadi kebiasaan kepada mana-mana syarikat untuk melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.


"Saya harap, bantuan yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar dan yang penting, ibubapa juga mestilah memantau pelajaran anak-anak mereka.

"Ibubapa juga perlu bersama-sama dengan guru besar dan pengetua sekolah, melalui Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), dapat bertanya khabar tentang perkembangan anak-anak-anak mereka di sekolah,"ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top