Menu

IKLAN


BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh 2015 yang berlangsung di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu turut diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup yang juga Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan juga Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya sebentar tadi berkata, karnival seperti ini berupaya untuk menyatukan rakyat di Bagan Datoh dan seharusnya, penduduk di kawasan tersebut menghargai dan bersyukur dengan penganjuran karnival berkenaan.



“Cara untuk menunjukkan kesyukuran orang Bagan Datoh adalah dengan memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang ada pada hari ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Pada PRU akan datang, bukan sahaja undi kepada kerajaan , tetapi ianya sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,”katanya.

Tambahnya lagi, sebagai Ahli Parlimen Bagan Datoh yang juga Timbalan Perdana Menteri, beliau sentiasa akan cuba untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai salah satu daerah yang termaju di Perak.




Justeru itu, beliau juga mengharapkan supaya semua pihak dapat memberi kritikan dan pandangan yang membina berhubung penganjuran aktivti kemasyarakatan sebegini.

“Kritikan itu boleh, tetapi biarlah kritikan yang membina dan bukannya kritikan yang menjatuhkan.

“Oleh itu, saya akan cuba membangunkan kawasan Bagan Datoh ini sebagai salah satu kawasan termaju di negeri Perak,”ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, karnival ini telah dianjurkan buat kali ketiga.
Katanya lagi, karnival yang memasuki tahun ketiga penganjurannya ini tidak akan berjaya jika tidak mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen BaganDatoh.

“Saya berharap agar, produk-produk pelancongan di Bagan Datoh dapat dimajukan seperti Beting Beras Basah dan sebagainya.

“Selain itu, saya berhadap jeti yang ada pasa masa ini dapat dibesarkan kerana ianya memudahkan bagi bot-bot membawa pelancong ke Pulau Sembilan dan Pulau Pangkor.

“Kita juga mahu, orang ramai yang menggunakan jalan ini bukan sahaja setakat lalu, malah berhenti untuk melihat produk-produk pelancongan yang ada,”ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Silver Joran.

Karnival Sukan Air Bagan Datoh 2015 berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk orang ramai.


Antara aktiviti yang diadakan adalah Malam Berselawat, Karnival Kerjaya, Permainan Tradisional, Silver Joran, River Cruise, Taman Tema Air, Bola Sepak Pantai, Graffity Mural, Pukul Bantal dan Sampan Berhias.


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top