IPOH: Program ‘CEO On Campus’ anjuran Kolej Komuniti Wilayah Perak yang berlangsung di AEON Hall, Klebang dilihat mampu memberi pendedahan mengenai alam pekerjaan kepada pelajar-pelajar institut pendidikan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kerjaya Amanjaya, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata, tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang hala tuju dan bidang-bidang kerjaya yang boleh diterokai selepas tamat pengajian di Kolej Komuniti.
“Ini bertepatan dengan objektif program ini iaitu melatih para pelajar menjadi graduan holistik dan berciri keusahawanan.
“Selain itu, program ini juga diharapkan menjadi platform penggerak usahasama di antara kolej komuniti Wilayah Perak, Pusat Kerjaya Amanjaya dan pihak Industri dalam perkongsian maklumat mengenai keperluan tenaga kerja yang relevan di industri,” ujarnya dalam perasmian penutup program ini.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung adalah bicara kerjaya bersama pemilik Butik Gondola 31 dan kontraktor elektrik, forum bersama usahawan Kolej Komuniti, Taklimat Kerjaya, tips dan panduan temuduga; pameran dan promosi kemasukan ke Kolej Komuniti Wilayah Perak dan pameran kerjaya daripada Pusat Kerjaya Amanjaya.
Menurut salah seorang peserta, Mohd Sharul Anuar Hassan, 26, menyatakan program yang berlangsung pada hari ini banyak membantunya dalam memahami alam pekerjaan.
“Saya belajar dalam bidang automotif, tapi pendedahan hari ni lebih banyak dalam bidang elektrik.
“Apapun saya mendapat motivasi untuk memulakan perniagaan sendiri selepas tamat pengajian pada tahun hadapan,” ujarnya.
Firdaus Hakim, 25, yang juga merupakan pelajar Kolej Komuniti Tapah pula menyatakan program ini banyak memberi pendedahan mengenai latihan industri dan kerjaya.
“Penganjur membawa syarikat-syarikat tempatan dan alumni Kolej Komuniti yang telah menjadi jutawan untuk memberi semangat kepada pelajar yang datang ke program ini.
“Saya berasa lebih bersemangat dan akan melanjutkan pengajian selepas ini selepas mendengar bagaimana cara mereka mengecapi kejayaan,” ujarnya.
Pelajar dalam bidang Fesyen dan Pakaian, Farah Adi, 19 tahun pula berkata dia banyak belajar bagaimana mahu bersedia untuk sesi temu duga.
“Semestinya saya mendapat banyak pededahan, dan saya akan melanjutkan pengajian ke peringkat diploma selepas tamat pengajian di Kolej Komuniti Manjung nanti,” ujarnya.


0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.