Menu

IKLAN

Crispy Meatball
Jika anda ingin merasai keenakan bebola daging gergasi yang dibuat sendiri, FoodLab di Taman Cempaka, Ipoh adalah tempat yang harus anda tuju. 

Pemilik bersama FoodLab, Saidatul Emma 24 berkata, bebola daging yang digelar Crispy Meatball itu adalah bebola daging yang terbesar di Ipoh dan antara menu istimewa di kafe tersebut selain daripada air minuman yang diviralkan di media sosial, milk shake.

“Kita baru beroperasi semula sejak 4 Disember lalu. Antara menu yang paling kerap dipesan adalah Crispy Meatball dan juga milkshake. 

"Bebola daging itu kita buat sendiri di mana kita kurangkan tepung dan lebihkan daging dan bagi milkshake pula, antara yang selalu pelanggan pesan adalah Willy Wonka Choc dan Hazelnut Macchiato,”katanya.

Jelas Emma lagi, sebelum ini FoodLab telah beroperasi secara kecil-kecilan, tetapi kemudiannya ditutup buat sementara waktu untuk memindahkan ke tempat yang lebih besar kerana mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

Apabila ditanya sebab beliau membuka kafe berkenaan, pemilik Diploma Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, ianya berpunca daripada pekerjaannya sebelum ini, iaitu sebagai seorang jurugambar di salah satu syarikat media di Ipoh.

“Sebelum ini saya bekerja di dalam industri media, dan apabila saya pergi makan, kita akan memberi komen dan tidak berpuas hati. Kadang-kadang harga yang kita bayar itu tidak berbaloi dengan makanan yang dihidangkan.

“Jadi saya dan beberapa rakan media yang lain telah bersetuju untuk membuka kafe mengikut citarasa sendiri. Macam mana kita puas hati dengan makanan yang dihidangkan, macam itu  jugalah kita nak orang berpuas hati dengan kafe kita,”jelasnya.

Tambahnya lagi, meskipun tidak memiliki pengalaman dan pengetahuan dalam bidang makanan, namun minat yang mendalam terhadap bidang tersebut dan sokongan daripada rakan-rakan telah memberikan semangat kepadanya untuk membuka FoodLab.

Emma berkata, FoodLab dipilih sebagai nama kafe miliknya kerana kesemua menu yang  dihidangkan adalah olahan sendiri.

“Apa-apa makanan yang ada dekat Foodlab adalah olahan sendiri. Jadi kami anggap itu satu ujikaji di dalam makmal. Resepi adalah kita sendiri. Jadi sebab itu kita namakan kafe ini FoodLab.

“Dari segi menu, kami akan sentiasa adakan pembaharuan dari masa ke semasa. Mungkin dalam dua bulan lagi, kami akan adakan pembaharuan di dalam menu.

“Tetapi menu yang mendapat sambutan akan dikekalkan untuk pengunjung. Bagi menu yang kurang mendapat sambutan, kita akan lakukan pembaharuan,”ujarnya.

Sementara itu, beliau berkatam antara menu yang turut mendapat sambutan adalah Burger Sarang yang diilhamkan daripada Laksa Sarang yang terkenal di Ipoh.

“Burger Sarang misalnya adalah olahan daripada Laksa Sarang yang terkenal di Ipoh. Saya bukan peminat laksa tetapi saya sukakan telur sarang. Dari situ, kita olah dan mencipta satu menu makanan yang baru,”ujarnya.

Tambahnya lagi, kesemua patty (daging burger) yang disediakan adalah buatan sendiri.

Orang ramai yang ingin menikmati kelainan makanan bolehlah berkunjung ke FoodLab yang terletak di Taman Cempaka (belakang RTM Ipoh) yang beroperasi setiap hari (kecuali Khamis) bermula dari jam 4 petang hingga 12 malam.

Burger Sarang

Chicken Run




0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top