Menu

IKLAN


IPOH: Buat pertama kalinya, Politeknik Ungku Omar (PUO) bekerjasama dengan Master Builders Assosiation Malaysia (MBAM) dalam membangun dan melaksanakan program Work-base Learning (WBL) dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Pembinaan.

Pengarah PUO, Mejar (K) Datuk Md Nor Yusof berkata, WBL direkabentuk dengan tujuan untuk menghasilkan graduan politeknik yang dapat memenuhi keperluan industri.

“Ia dilaksanakan dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar dalam persekitaran kerja yang sebenar.

“Melalui WBL, pelajar berpeluang untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang ditimba di politeknik bagi menyelesaikan masalah sebenar di tempat kerja,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi Pelaksanaan WBL di PUO, di sini, pagi tadi.

Tambahnya, pelajar juga berpeluang untuk membangunkan kemahiran insaniah seperti penyelesaian masalah kreatif, konflik, komunikasi dan kerja berpasukan.

Selain itu, Md Nor turut berkata, pelajar dapat meneroka pelbagai pilihan kerjaya dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan awam.



“Diharapkan, Nota Kolaborasi yang dimeterai ini akan membina kerjasama dalam pelbagai usaha terutamanya dalam pembangunan kurikulum, aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang-bidang berkaitan di samping meningkatkan kebolehpasaran pelajar dalam pasaran kerja yang kompetitif,”ujarnya.

Ujarnya lagi, seramai 20 orang pelajar daripada Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (BCT) akan menjalani pembelajaran berasaskan kerja di syarikat-syarikat ahli MBAM bermula pada 22 Februari 2016 selama setahun.

Sementara itu, Presiden MBAM, Matthew Tee Kai Woon berkata, pihaknya akan memainkan peranan penting seperti mencadangkan ahli-ahlinya menyediakan peluang bagi pelajar BCT untuk menjalani WBL di tempat mereka.

“MBAM juga berfungsi sebagai penyelaras WBL untuk syarikat-syarikat ahli kami dan penasihat industri dalam pembangunan kurikulum untuk program BCT.

“Saya menjangkakan kerjasama yang terbina melalui Nota Kolaborasi ini akan memberi manfaat bersama untuk jangka masa yang panjang,”ujarnya.

Dalam majlis berkenaan, PUO telah menandatangani Nota Kolaborasi (NOC) bersama-sama MBAM serta tujuh ahli MBAM yang terdiri daripada Bina Puri Sdn Bhd, Sunway Construction Sdn Bhd, Trans Resources Corporation Sdn Bhd, Mudajaya Corporation Berhad, Putra Perdana Construction Sdn Bhd, MITC Engineering Sdn Bhd dan Premier Construction Sdn Bhd.

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top