Menu

IKLAN


PARIT BUNTAR: Siapa sangka, disebalik peristiwa yang berlaku ketika berkunjung ke Bandung, Indonesia tiga tahun lepas, berupaya mencetuskan ilham buat usahawan muda ini mencipta kelainan dalam bidang masakan.

Pengurus Operasi Laksa Telur Sarang Mumtaz, Najmi Rajli 29 berkata,idea untuk membuka perniagaan Laksa Telur Goreng Mumtaz dan Laksa Bandung tercetus ketika beliau melawat ke Bandung, Indonesia kira-kira tiga tahun lalu.

“Ketika di sana, saya yang menggemari mi bandung dan air sirap bandung memesan kedua-dua menu itu di salah sebuah kedai makan kerana menyangka makanan tersebut asal dari sana.

“Namun saya terkejut apabila dimaklumkan kedua-dua menu itu hanya wujud di Malaysia dan inisiatif hubung kait dengan pekan Bandung dibuat bagi meraikan kreativiti dan inovasi penduduk dalam bidang masakan,”katanya.

Tambahnya lagi, bermula dari peristiwa itu, beliau terfikir bagi memperkenalkan menu inovasi laksa yang beliau hasilkan pada hujung tahun 2013 dinamakan ‘Laksa Bandung’.

Laksa Telur Goreng Mumtaz yang terletak di Pekan Batu 5, di sini menawarkan inovasi masakan di dalam menunya, pasti menjanjikan kelainan kepada pelanggannya.

Najmi berkata, dua menu  menarik yang ditawarkan kepada pelanggan adalah laksa bandung atau laksa telur bersarang.

Katanya, pada kebiasaannya, para pelanggan dilihat ‘keliru’ hendak memilih menu yang mana ingin dicuba memandangkan ianya satu menu baharu.

Najmi berkata, demi memberi kepuasan melalui masakannya kepada pelanggan, beliau sanggup berulang alik ke pasar awam dua kali sehari untuk mendapatkan bahan-bahan segar.


Menurut Najmi yang juga seorang guru, beliau memilih laksa sebagai menu inovasi apabila menyedari potensi pasaran produk makanan itu pada masa akan datang

Katanya, beliau telah menjalankan sesi ujian rasa produk Laksa Bandung dan Laksa Telur Goreng kepada 60 responden di sekitar Parit Buntar sebelum membuka perniagaannya.

“Bayangkan, daripada 60 responden yang mencuba menu baharu saya itu, hampir 95 peratus mengakui terdapat kelainan dari segi kualiti rasa pada produk laksa yang dihasilkan.

“Keputusan sesi ujian rasa itu ternyata menaikkan semangat saya yang dibantu oleh isteri, Wan Nurliyana Meor Ahmad Sabri 24, untuk fokus dalam membangunkan premis perniagaan dengan segera,”jelasnya.

Katanya lagi, Laksa Bandung dan Laksa Telur Goreng Bersarang mampu dijual kepada pelanggan tidak kurang 60 mangkuk sehari sejak dua tahun lalu.

Ujarnya, Laksa Bandung dijual dengan harga RM4.50 dan Laksa Telur Goreng Bersarang ialah RM3.50 tidak membebankan pelanggan.


“Meskipun perniagaan dijalankan secara kecil-kecilan, namun saya amat mengambil berat aspek penjenamaan dan promosi produk secara atas talian.

“Saya bersyukur kepelbagaian inisiatif memperkenalkan produk inovasi laksa dihasilkan akhirnya menggamit pelanggan walaupun dari jauh,”ujarnya.

Laksa Telur Goreng Mumtaz beroperasi dari jam 4 petang hingga 10 malam dan turut menawarkan perkhidmatan penghantaran produk ke rumah pelanggan serta perkhidmatan catering

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top