IPOH: Dianggarkan seramai 30,000 pengunjung daripada sekitar bandaraya ini dijangka akan menghadiri Bos Gaurus Book Fest yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Festival buku yang julung kali diadakan ini telah dirasmikan oleh Raja Di Hilir Perak, DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain yang berkenan hadir ke majlis tersebut.
Turut berangkat sama ke majlis tersebut, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Salbiah Mohamed, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Ghazali Jalal dan Datuk Bandaraya Ipoh, Datuk Zamri Man.
Nolee ketika ditemui berkata, penganjuran yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak yang pertama kali diadakan ini adalah bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk membaca.
“Belum pernah ada lagi pesta buku seumpama ini di negeri Perak. Maka harapan kami ianya akan menjadi acara tahunan dimana bukan sahaja jualan buku, malah akan terdapat aktiviti lain seperti yang berkaitan dengan persekolahan.
“Harga yang ditawarkan oleh penerbit dan pengedar buku-buku juga cukup menarik. Selalunya, pamerean-pameran buku ini diadakan di Kuala Lumpur, jadi apabila ianya diadakan di negeri Perak, ianya dapat menarik rakyat di bahagian utara tanah air,”katanya.
Jelas Nolee lagi, Bos Gaurus Book Fest ini juga turut diadakan sekali bersama-sama dengan acara pyramid buku terbesar dunia untuk dimasukkan di dalam Guinness World Record dengan jumlah buku sebanyak 70,000 buah buku.
“Setakat ini, kita sudah mengumpulkan sebanyak 65,000 buah buku dimana ianya telah mengatasi rekod dunia sebelum ini di Luxembourg dengan jumlah sebanyak 63,377 buah buku pada april lalu.
“Tetapi kita yakin, kita akan dapat mencapai sasaran 70,000 buah buku menjelang 25 November ini. Wakil dari Guinness World Record akan hadir pada 26 November untuk menilai dan mengesahkannya,”ujarnya.
Katanya, orang ramai turut berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah tersebut dengan menyumbangkan buku-buku tersebut sebelum penilaian dibuat.
“Orang ramai berpeluang untuk membawa buku dan meletakkan buku mereka di pyramid ini. Sebab itu kita cuma ada 65,000 buah buku sahaja. Lagi 5,000 adalah daripada orang ramai,”katanya.
Sementara itu, Salbiah berkata, pengumpulan buku-buku untuk piramid buku terbesar dunia ini telah dimulakan sejak beberapa bulan lalu.
“Selepas penilaian dibuat pada 26 November ini, buku-buku ini akan diedarkan kepada rumah anak-anak yatim, perpustakaan desa dan sebagainya.
“Selain buku-buku daripada perpustakaan awam di seluruh negeri Perak, kita turut mendapat kerjasama daripada pihak-pihak lain yang sudi menyumbang buku-buku ini,”ujarnya.



0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.