KAMPAR: Sejak kebelakangan ini, kecenderungan penggunaan rokok elektronik ataupun lebih dikenali sebagai vape di kalangan golongan muda serta wanita telah menimbulkan kebimbangan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, penggunaan vape merupakan satu ‘gateway’ untuk golongan ini memulakan tabiat merokok.
“Penghasilan pelbagai perasa yang digunakan dalam vape sememangnya mampu menarik minat golongan ini sehingga menyebabkan kecederungan mereka untuk menggunakan vape meningkat.
“Kita lihat tabiat ini menjadi ‘trend’ yang mana pemuda dan wanita yang dahulunya tidak merokok, dia pun telah mula ‘vaping’. Senario sebegini amat membimbangkan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penutupan Seminar COMBI dan Kempen Anti-Vape Peringkat Negeri Perak 2015 di sini, semalam.
Ujarnya, sekiranya dilihat senario terkini, kanak-kanak yang berumur 11 tahun juga telah mula mengambil vape.
“Ini amat menakutkan kerana generasi muda tanpa rasa takut dan malu telah memulakan tingkahlaku tidak sihat di usia muda.
“Saya menyeru kepada semua untuk membuat pilihan yang terbaik bagi generasi akan datang. Hentikanlah sebarang amalan merokok dan penggunaan vape bagi kehidupan yang sihat sepanjang hayat,” jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, beliau secara peribadi amat menggalakkan orang ramai untuk tidak terlibat dalam pengambilan rokok, vape dan segala aktiviti yang boleh memudaratkan kesihatan.
“Ini pendapat secara peribadi yang mana sebagai seorang doktor, memang saya selalu menggalakkan mana-mana pihak sekalipun supaya berhenti merokok kerana merokok itu bukan sahaja membazir tetapi juga memudaratkan kesihatan.
“Jadi bila berlaku keadaan seperti ini, maka bebanan untuk rawatan dan kehilangan produktiviti semuanya akan berlaku. Ianya akan menjadi satu beban kepada individu, keluarga, masyarakat dan juga negara
“Pada saya amat galakan semua orang supaya sedaya upaya untuk berhenti sama ada rokok, vaping atau mana-mana tabiat yang kurang sihat,” katanya lagi.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.