IPOH: Seramai 32 orang yang terdiri daripada mahasiswa serta mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) akan menyertai program ‘Amanjaya Intership III’.
Program yang dianjurkan buat kali ketiga itu akan berlangsung selama lima minggu bermula pada 11 Januari hingga 19 Februari depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, idea pelaksanaan program berkenaan tercetus daripada pemerhatian yang dibuat terhadap perkara yang dilakukan oleh golongan tersebut apabila mempunyai masa terluang atau tiba waktu cuti.
Katanya, pihaknya telah mengadakan perbincangan berhubung jurang yang terdapat diantara golongan itu dengan para pemimpin.
“Kebiasaannya kita akan adakan program-program bersifat seperti pengambilan anak angkat.
“Dalam masa yang sama, kita menghadapi perkara yang berkaitan dengan perspekif golongan muda yang mana mereka melihat semangat perkauman yang ada ini ialah dengan ragu-ragu ataupun yang paling ekstrem adalah benci dengan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian ‘Amanjaya Internship III’ yang berlangsung di Wisma UMNO di sini, hari ini.
Turut hadir sama, Pengasas Amanjaya Internship, Khairul Azwan Harun, Pengerusinya, Hairul Anwar Mohamed Noor, dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Ujarnya, pelbagai perkara yang boleh menyebabkan timbul perasaan sedemikian dalam diri golongan muda termasuklah jurang antara pemimpin dengan golongan pelajar ini.
“Kenapa terjadi begini dan kenapa mereka membenci dan tidak menyukai kita, jangan salahkan mereka. Mungkin sebahagiannya kita yang perlu dipersalahkan diatas sebab-sebab tertentu.
“Salah satunya adalah kerana jurang yang berlaku antara generasi muda dengan kita. Tidak ada berlaku pertemuan ataupun pertemuan idea ataupun mereka dalam kalangan pelajar berada dalam alam mereka sendiri,” katanya lagi.
Justeru, tegasnya lagi, melalui program ini, generasi muda khususnya pelajar dapat mendekatkan diri dengan pemimpin bagi mengetahui cara bagaimana memimpin sesebuah kerajaan.
“Saya harap program ini akan mencapai matlamatnya. Teruskan visi dan misi agar anak-anak muda di negeri kita pada akhirnya nanti akan menjadi pemimpin besar untuk negeri Perak dan juga negara kita.
“Harapan kami semua di sini, apabila satu hari nanti InsyaAllah… saudara saudari semua akan dapat menggantikan kami yang berada di sini,” tegasnya lagi.
Terdahulu, 32 mahasiswa dan mahasiswi tersebut telah dipilih dari seluruh negeri Perak untuk berkhidmat di bawah 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak serta Pengerusi Pemuda UMNO Negeri Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor.
Program ini akan memberi peluang kepada golongan mahasiswa dan anak muda untuk mendalami selok-belok pentadbiran serta pelaksanaan kerja yang dilakukankan di kawasan-kawasan DUN negeri Perak.
Antara pengkhususan dan tugas yang diberikan kepada mereka adalah menjadi penyelidik, pengurusan program, pengurusan pejabat dan juga aktiviti turun padang.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.