IPOH: Pendaki kelahiran negeri Perak, Khairil Aslan Ab Rasid menyatakan sasaran beliau untuk menakluk tujuh puncak di tujuh benua pada tahun 2016 sekaligus menjadikan beliau merangkul gelaran sebagai pendaki terpantas di Malaysia dan juga Asia.
Bagi melayakkan diri beliau menerima gelaran tersebut, Khairil Aslan perlu menakluk kesemua tujuh puncak tersebut dalam tempoh satu tahun.
Khairil Aslan baru sahaja pulang ke tanah air pada 26 Disember lalu selepas berjaya menakluk tiga puncak gunung tertinggi di Himalaya iaitu Mera Peak, Lobuche East peak dan Island Peak.
“Pada tahun hadapan (2017) saya akan teruskan dengan menakluk Kutub Utara dan Kutub Selatan manakala bagi tempoh 2017-2019 saya akan cuba menawan 14 puncak dalam Eight-Thousanders (14 gunung yang mempunyai ketinggian lebih dari 8,000 meter).
“Saya sahut cabaran untuk menguji tahap kemampuan saya dalam tempoh masa satu tahun,”katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, tengah hari tadi.
Katanya lagi, dalam masa terdekat ini, beliau akan memberi fokus untuk menakluk Gunung Everest berikutan tempoh masa yang dibuka untuk mendaki gunung tertinggi tersebut cuma pada April dan Mei.
“Kalau diikutkan jadual yang saya buat, benua pertama yang saya akan pergi pada bulan Februari ini tetapi tengok pada keadaan.
“Tetapi sekarang, saya akan memberikan tumpuan kepada Gunung Everest dahulu sebab Gunung Everest cuma dibuka dari April sehingga Mei sahaja,”ujarnya.
Tambahnya lagi, beliau memerlukan sekitar RM2 juta untuk menakluk tujuh puncak di tujuh benua tersebut.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kejayaan Khairil Aslan merupakan satu kebanggan buat negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya.
“Kita jadikan (Khairil) Aslan sebagai ikon orang muda Perak. Sebab itu dalam pendakian beliau yang lalu, kita berikan peruntukkan untuknya.
“Beliau akan teruskan misi ini dan kita akan bantu beliau. Kita tengok berapa banyak yang kita boleh bantu,”ujarnya.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.