BND Global Development Sdn Bhd (BND Global Development) akan membangunkan hotel belia antarabangsa pertama di Cyberjaya dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan lebih RM100 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vincent Fong berkata, hotel yang sudah memulakan pembangunannya pada tahun ini di Roppongi, Cyberjaya itu dijangka siap suku ketiga 2019 dan menerima tetamu pada 2020.
"Hotel satu blok yang mempunyai 20 tingkat itu, bakal menempatkan 300 bilik. Ia dibina di atas tanah seluas 24.7 ekar (10 hektar) yang turut dibangunkan dengan projek pembangunan lain merangkumi asrama pelajar dan komponen kediaman keseluruhannya mempunyai GDV bernilai RM2 bilion.
"Lokasi hotel ini strategik kerana Roppongi akan menjadi hab pendidikan negara apabila ia bakal menempatkan Segi College, Cyberjaya University College of Medical Sciences dan sebuah sekolah antarabangsa, selain Multimedia Universiti (MMU) yang terletak hanya di seberang jalan," katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Container Hotel Group, Everly Group dan BND Global Development di Kuala Lumpur, semalam.
Menerusi jalinan kerjasama itu, Container Hotel Group dan Everly Group bekerjasama untuk menguruskan operasi hotel tersebut untuk tempoh 10 tahun dengan pilihan untuk melanjutkan perjanjian bagi tempoh tambahan lima tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Container Hotel Group, Ryan Loo berkata, syarikat itu yang menjadi peneraju dalam pembinaan hotel berkonsepkan kontena dan kapsul berhasrat untuk terus menjadi perintis trend dalam industri hospitaliti.
"Belia hari ini adalah pengguna bijak dan mereka semakin pandai menilai. Kita perlu terus menginovasi untuk memenuhi kehendak mereka.
"Dengan pembinaan banyak institut pendidikan yang terletak di dalam dan sekitar Roppongi, kami yakin hotel ini akan menjadi pilihan pelajar, pelatih dan penyelidik dengan tawaran kemewahan yang berpatutan sepanjang mereka menginap di sini, sama ada untuk penginapan secara harian, bulanan mahupun tahunan," katanya.
Hotel itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pengemasan bilik (housekeeping) 24 jam, kedai makanan dan minuman dan kemudahan rekreasi seperti kolam renang dan gimnasium.
Ia berkonsepkan Live, Play, Study dengan kawasan umum dan ruang sosial yang direka khusus untuk menggalakkan interaksi antara penghuni.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.