Menu

IKLAN


IPOH: Perasaan gembira, takut dan teruja jelas tergambar pada riak wajah tiga kembar tidak seiras ini apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan buat pertama kalinya, di sini hari ini.

Muhammad Nur Syahmi Ridzuan 7, Muhammad Nur Syahiran Ridzuan7, dan Muhammad Nur Thaqif Ridzuan 7, hari ini mendaftarkan diri mereka di Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya (SKPJ), Tambun, di sini sambil ditemani oleh bapa mereka, Ridzuan Rahani 41.

Ridzuan yang ditemui berkata, beliau berasa risau apabila Thaqif ditempatkan di kelas yang berlainan dengan dua lagi abang kembarnya.

“Sejak mereka masuk ke sekolah KEMAS dan pra-sekolah, mereka bertiga memang tidak pernah berpisah. Sentiasa berada dalam satu kelas. Di rumah pun, mereka sering bermain sekali.

“Tapi saya nak tengok dulu keadaan mereka macam mana. Kalau mereka dapat menyesuaikan diri mereka dengan rakan-rakan, biarlah mereka berpisah kelas. 

"Jika tidak, saya akan memohon kepada pihak sekolah untuk tempatkan mereka di dalam satu kelas,”katanya.

Bagi sesi persekolah tersebut, Nur Syahmi dan Nur Syahiran telah ditempatkan di kelas 1 Mega, manakala Nur Thaqif pula ditempatkan di kelas 1 Giga.

Sementara itu, guru besar, Faridah Yusop 55, berkata ini merupakan kali pertama sekolahnya menerima murid kembar tiga.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak sekolah akan melihat kesesuaian kembar tersebut sama ada mereka boleh dipisahkan kelas ataupun tidak.

“Kita akan tengok kesesuaian mereka. Jika mereka boleh dipisahkan, kita akan pisahkan, tetapi kalau tidak, kita akan tempatkan mereka dalam kelas yang sama.

“Mereka dipisahkan berdasarkan keputusan ujian yang mereka jalani pada minggu orientasi Sabtu lalu,”ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Rozi Puteh Ismail berkata, dianggarkan sekitar 37,532 murid tahun satu telah mendaftarkan diri di sekolah.


Seramai 25,205 murid tahun satu telah mendaftarkan diri di Sekolah Kebangsaan (SK), 8,743 murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, 2,669 murid di SJK Tamil, dan Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) seramai 915.

“Bagi murid prasekolah tahun 2016 pula, seramai 16,034 di SK, 1,450 murid di SJK Cina, 911 di SJK Tamil dan 375 di SMOA. Jumlah keseluruhan bagi murid prasekolah di negeri Perak ialah 18,770,”katanya ketika ditemui selepas beliau meninjau hari pertama persekolahan di sekolah tersebut.


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top