Menu

IKLAN


Menjelang 14 Februari esok, pastinya pasangan-pasangan bercinta akan merancang untuk membuat kejutan kepada pasangan masing-masing bersempena dengan Hari Kekasih atau Valentines Day.

Bagaimanapun, sambutan Hari Kekasih yang diraikan oleh anak muda beragama Islam di Negara ini sentiasa mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Memetik laporan Sinar Harian, penceramah bebas, Dr Abd Basit Abd Rahman berkata, sambutan menyambut Hari Kekasih sangat dilarang kerana ianya mempunyai kaitan dengan agama penganut Kristian yang bertentangan dengan Islam.

Katanya lagi, sambutan Hari Kekasih ini selalunya akan disambut dengan adegan berdua-duaan dan membuat maksiat sehingga sanggup menggadaikan maruah demi bukti kasih sayang.

“Sebenarnya kasih sayang dalam Islam disarankan disambut setiap hari, bukannya pada hari-hari tertentu. Tetapi perlulah mengikut landasan agama,”ujarnya.

Pekerja swasta, Bella Idura 30, berkata, sambutan Hari Kekasih sepatutnya membuatkan seseorang yang disayangi itu merasa gembira serta dihargai dan sepatutnya tidak disambut pada tarikh dan waktu tertentu sahaja.

“Sebab apa sambutan itu hendak diraikan atau diadakan? Jika hendak mengikut budaya Barat, lebih baik jangan.

“Bagi kita ianya sambutan meraikan kekasih, tetapi bagi Negara Barat sambutan Hari Kekasih yang membawa maksud yang lain.

“Sambutan ini sepatutnya macam hari biasa sahaja. Tetapi bila ada acara atau pesta yang menggalakkan Hari Valentine disambut meriah maka terjadilah pergaulan bebas. Remaja bercinta merasakan bebas melakukan apa sahaja,”katanya ketika dihubungi sebentar tadi.


Seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Huda 23, pula berkata, tidak salah untuk menyambut Hari Kekasih sebagai tanda menghargai pasangan, tetapi perlu mempunyai hadnya dan tidak disambut pada hari-hari tertentu.

“Kebiasaanya tarikh 14 Februari menjadi platform kepada anak muda untuk membuktikan kasih sayang dan rasa cinta kepada pasangan. #TillJannah dan #relationshipgoal akan menjadi trending di media sosial.

“Tetapi sesetengah anak muda akan hanyut dan leka dengan perasaan masing-masing sampai melampaui batas dan seterusnya akan membawa kepada masalah sosial yang lain seperti pembuangan bayi dan sebagainya,”jelasnya.

Seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Saida Hanis 22 pula berkata, meskipun dalam agama Islam telah mengharamkan sambutan Hari Kekasih, masih ramai anak muda mengambil peduli tentang perkara tersebut.

“Bagi mereka (anak muda) untuk meraikan kekasih masing-masing perlu raikan hari ini. Sebab apa? Media sosial yang menjadi agen hebahan yang memviralkan sambutan itu.

“Hasil kajian tahun lepas, hampir 70 peratus anak muda berzina pada sambutan tersebut terutama di kawasan bandar. Banyak serbuan dilakukan dan anak muda yang paling banyak terlibat adalah dalam kalangan anak muda,”tegasnya yang merupakan seorang pendebat universiti tersebut.




0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top