IPOH: Pembukaan Movie Animation Park Studio (MAPS), di Bandar Meru Raya di sini dilihat mampu menjadi pemangkin industri pelancongan di Perak.
Ujarnya, pemain industri pelancongan juga dilihat telah bersiap sedia untuk jangkaan kedatangan pelancong yang ramai ke Perak terutamanya di Bandaraya Ipoh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pelbagai aktiviti yang dibawakan oleh taman tema berkenaan dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke negeri ini.
“Kita memang mempunyai beberapa lagi taman tema di Bandaraya Ipoh.
“Dengan adanya MAPS ini, ia juga akan melengkapkan produk pelancongan kita daripada segi antarabangsanya bukan sahaja daripada pasaran domestik tetapi juga pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Penjualan Tiket MAPS di sini, hari ini.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohd. Zahir Abdul Khalid.
Turut hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Gazali Jalal, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Perak dan PCB Datuk Aminuddin Md Desa dan Ketua Pegawai Eksekutif MAPS Perak, Darren McLean.
Jelasnya, ia harus diketengahkan untuk memastikan bilangan pelancong daripada antarabangsa dapat dipertingkatkan selaras dengan apa yang telah ditetapkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan MAPS juga mampu memperlihatkan bahawa industri kreatif akan diberikan keutamaan untuk penjanaan pendapatan utama bagi rakyat di negeri Perak.
Katanya, ia bukan sahaja membawa masuk sumber manusia untuk menjayakan taman tema berkenaan, namun ia juga mampu mencungkil bakat anak-anak muda untuk menceburi bidang ‘stunt show’.
“Dua perkara ini akan membantu kita mempertingkatkan penjanaan pendapatan bagi rakyat di negeri ini seperti yang kita harapkan pada masa-masa akan datang,” jelasnya lagi.
Terdahulu, MAPS telah membuka penjualan tiket dalam program ‘My Dream Carnival’ bertempat di perkarangan MAPS yang mana menarik lebih 20,000 pengunjung dalam tempoh dua hari penganjurannya.



0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.