IKLAN


IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Dewan Belia Negeri Perak diibaratkan sebagai medan ujian buat generasi muda untuk bersama-sama memikul amanah dalam memastikan isu-isu rakyat khususnya yang berkaitan dengan golongan muda dapat diperbahaskan.
Katanya lagi, langkah kerajaan negeri mewujudkan Dewan Belia Negeri Perak bukanlah bersifat tayangan atau pameran, sebaliknya, ia merupakan keazaman untuk membentuk generasi pelapis yang bertanggungjawab bagi mencorak kehidupan masa hadapan.
“Ia menjadi ruang terbaik anak-anak muda negeri Perak, mengetengahkan cara baru dalam melihat sesuatu isu, mempamerkan keterbukaan dalam membahaskan isu-isu yang menyangkut kepentingan rakyat dan negeri, serta melontarkan cadangan atau idea-idea baru yang bersifat di luar kebiasaan.
“Malah, melalui Dewan Belia Negeri Perak ini diharapkan, akan lahirlah gagasan-gagasan besar serta hala tuju yang jelas, bagaimana rupa wajah negeri dan rakyat pada masa akan datang,”katanya ketika berucap bagi merasmikan Sidang Dewan Belia Negeri Perak, hari ini.

Seramai 60 Ahli Dewan Belia Negeri Perak akan berbahas mewakili tujuh jawatankuasa yang ditubuhkan.
Persidangan Dewan Belia Negeri Perak bertempat di Dewan Undangan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan selama dua hari, bermula hari ini dan esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed telah dilantik sebagai Speaker Dewan Belia Negeri Perak yang pertama.
Zambry berkata, di dalam konteks Dewan Belia Negeri Perak, walaupun ia bukanlah melalui proses pemilihan seperti pilihan raya, ia tidak sedikit pun mengurangkan amanah dan tanggungjawab yang telah dipilih untuk menjadi perwakilan di Dewan Belia tersebut.

“Soal kaedah pemilihan serta perlantikan, adalah sesuatu yang amat luas tafsirannya. Mungkin ada yang berkata, tanpa pemilihan melalui pilihan raya, perwakilan Dewan Belia Negeri Perak yang ada tidak mencerminkan representasi yang sebenarnya.
“Namun, pemilihan perwakilan untuk Dewan Belia Negeri Perak, ini telah mengambil kira perwakilan di kalangan generasi muda yang terlibat dengan pelbagai pergerakan belia dan pertubuhan bukan kerajaan,”ucapnya.
Beliau turut berkata, sekitar 20 peratus sahaja daripada 900,000 populasi belia di negeri ini aktif di dalam gerakan persatuan dan pertubuhan.
Berikutan itu, kata Zambry, perkara tersebut menjadi cabaran awal yang perlu dihadapi oleh perwakilan Dewan Belia Negeri Perak bagi menjalinkan rangkaian seluas mungkin dengan generasi belia di negeri ini.


05 Mar 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top