IKLAN


IPOH: Generasi muda pada hari ini menjadi penentu corak permainan (trend setter) kerana golongan tersebut akan mengharungi cabaran pada masa akan datang, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Katanya lagi, kerajaan tidak mahu melihat kemunculan pemikiran-pemikiran bernas di kalangan generasi muda tertimbus di dada mereka, sebaliknya perlu dihidangkan sebagai perkongsian demi kepentingan bersama.

“Maka, adalah menjadi harapan saya, agar Dewan Belia Negeri Perak dapat berfungsi sebagai pelengkap kepada proses percambahan minda, penjelmaan gagasan yang realistik serta menjadi penghubung suara masa hadapan dengan kepimpinan negeri hari ini.

“Berdasarkan struktur Dewan Belia Negeri Perak ini, terdapat tujuh jawatankuasa yang dibentuk dengan dianggotai oleh para perwakilan,”ujarnya ketika berucap bagi merasmikan Sidang Dewan Belia Negeri Perak, hari ini.

Tujuh jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Usahawan, Pelancongan dan Pengantarabangsaan, Jawatankuasa Sosial, Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita serta Jawatankuasa Pendidikan, Kerjaya, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian.

Selain itu ialah Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Integrasi Nasional, Jawatankuasa Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia, Jawatankuasa Prasarana Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar serta Jawatankuasa Pencegahan Jenayah, Masyarakat Sivil dan Patriotisme.

“Adalah menjadi harapan setiap jawatankuasa yang dibentuk ini dapat melontarkan cadangan-cadangan bernas yang dapat digarap sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan negeri.


“Perwakilan Dewan Belia Negeri Perak perlu berani untuk berhadapan dengan rakan sebaya diluar sana dalam rangka mendapatkan maklum balas, pandangan serta teguran kerana inilah aspirasi anak muda yang sebenarnya,”ujarnya.


05 Mar 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top