KAMUNTING: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar satu analisis secara objektif dapat dilakukan berkaitan dengan implikasi kehadiran tenaga kerja asing di negara ini.
Titah Baginda, negara perlu bersifat lebih selektif dan mengenakan syarat lebih ketat daripada aspek guna tenaga ketika memberikan kelulusan pelaburan baru dalam sektor pembuatan selain daripada ketika meluluskan pas kerja dalam sektor perkhidmatan.
“Pelaburan, terutama pelaburan asing di negara ini, hendaklah diluluskan berasaskan kepentingan negara; pekerjaan yang ditawarkan hendaklah membuka peluang kerja kepada warga tempatan.
“Tidaklah membawa manfaat kepada negara, apabila kerja yang ditawarkan memerlukan kerajaan memberikan kebenaran untuk lebih ramai tenaga kerja asing dibawa masuk,”titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berucap bagi merasmikan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini.
Turut hadir mengiringi Baginda ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, dan barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri.
Titah Baginda lagi, penggunaan tenaga kerja asing dengan dengan bilangan yang semakin meningkat adalah perkara yang kini wajib diberikan perhatian.
Baginda bertitah, warga sewajibnya membantu dan mengambil tanggungjawab untuk membetulkan situasi apabila negara sudah mula terlalu bergantung dan kelihatan semakin cenderung bergantung pada tenaga kerja asing.
“Data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan pas lawatan kerja sosial yang dikeluarkan kepada warga asing meningkat daripada 2.073 juta orang pada tahun 2014 kepada 2.135 juta orang pada tahun 2015.
“Lebih daripada 745,000 orang (35 peratus) pekerja asing bekerja dalam sektor pembuatan, 450,000 orang (21 peratus) bekerja dalam sektor pembinaan, 301,000 orang (14 peratus) bekerja dalam sektor perladangan, 197,000 (9 peratus) bekerja dalam sektor pertanian, 293,000 (14 peratus) bekerja dalam sektor perkhidmatan, dan 149,000 orang (tujuh peratus) bertugas sebagai pembantu rumah.
“Bilangan pekerja asing tanpa izin (PATI) dikatakan berjumlah sekurang-kurangnya sekali ganda daripada bilangan pekerja asing yang mendapat pas kerja. Jika andaian tersebut benar, bermakna pada ketika ini, terdapat lebih empat juta orang warga asing yang sedang bekerja di negara ini,”titah Baginda.
Titah Baginda lagi, pendirian terkini Kerajaan Persekutuan membekukan dan tidak akan membenarkan lagi kemasukan tenaga kerja asing, menurut yang telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, sangatlah bertepatan dan amat sesuai waktunya.
Baginda turut bertitah, syarat-syarat yang lebih ketat amat perlu dikenakan kepada majikan supaya tidak lagi memilih laluan mudah untuk mendapatkan tenaga kerja asing hingga mengakibatkan warga dan negara terpaksa pada satu hari nanti, menanggung kos yang tinggi.
Dalam masa yang sama, Baginda bertitah, pelajar-pelajar lepasan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merupakan tenaga kerja paling penting dan paling ramai untuk merealisasikan dan menjayakan wawasan ekonomi di negara-negara maju.
“Tahap penguasaan kemahiran teknikal dan vokasional di kalangan tenaga kerja dan bilangan yang menguasai kemahiran tersebut, adalah antara faktor penarik yang mempengaruhi pertimbangan para pelabur untuk melabur dalam sesebuah negara.
“Menyediakan prasarana fizikal membangunkan institusi latihan TVET adalah satu usaha permulaan. Yang lebih perlu diberikan perhatian adalah komponen latihan yang harus terus dikembangkan dan hendaklah bersifat dinamik, supaya latihan yang disampaikan dapat memenuhi keperluan semasa, selaras dengan perubahan teknologi yang terus berlaku dengan fasa perubahan yang amat pesat.
“Oleh yang demikian, kurikulum pengajian TVET tidak boleh bersifat statik. Kandungan kurikulum TVET wajib terus direkayasa. Kurikulum, alatan mengajar dan kelengkapan makmal dan bengkel wajib dikaji dan dikemaskinikan secara berkala, sementara tenaga pengajar TVET wajib mengikuti latihan sepanjang masa supaya modul latihan akan bersifat semasa, dan para pelatih dibimbing untuk memiliki daya saing dan kompetensi kemahiran yang selaras dengan tenaga pekerja yang diperlukan dalam pasaran,”titah Baginda.
Baginda bertitah, kemudahan yang terdapat di institusi latihan, hendaklah digunakan secara optimum.
“Program-program latihan separa masa pada waktu malam dan hujung minggu wajar diperkenalkan untuk membolehkan mereka yang sudah bekerja boleh terus meningkatkan kemahiran.
“Jaringan kerjasama dengan industri wajar diterokai, agar terbinanya satu hubungan kerja dan terjalinnya persefahaman latihan yang dapat mengurangkan jurang antara corak latihan yang diberi dengan keperluan sebenar industri.





0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.