IPOH: Seramai 890 daripada 33,493 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 di negeri ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 934 calon pada tahun 2014.
Pengarah Pendidikan Negeri, Rozi Puteh Ismail, sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang itu terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan dan 10 mata pelajaran.
“Kumpulan ini termasuklah 353 calon yang mengambil 9 mata pelajaran, 392 calon (10 mata pelajaran), 138 calon (11 mata pelajaran) dan tujuh calon (12 mata pelajaran),
“Bilangan calon yang menduduki bagi calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk peperiksaan SPM tahun 2015 ialah 33,493 calon berbanding 36,335 calon pada tahun 2014, iaitu berkurangan sebanyak 2842 calon,”katanya.
Beliau berkata demikian di dalam sidang media yang diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sempena pengumuman keputusan SPM, hari ini.
Selain itu, katanya lagi, seramai 27,854 calon SPM layak mendapat sijil.
“Mulai SPM tahun 2013, semua calon wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk lawak mendapat sijil SPM.
“Seramai 27,854 (83.16 peratus) calon SPM tahun 2015 yang menduduki dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras layak mendapat sijil.
“Ini merupakan peningkatan daripada tahun 2014 iaitu seramai 30,154 (82.99 peratus) calon,”ujarnya.
Beliau turut memaklumkan Gred Purata Negeri (GPN) bagi negeri Perak berlaku penurunan sedikit berbanding pada tahun 2014.
“Saya ingin memaklumkan bahawa indeks GPN bagi tahun 2015 ialah 5.22 berbanding 5.20 pada tahun 2014 iaitu berlaku sedikit penurunan sebanyak 0.02 mata.
“Manakala berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), sebanyak 34 daripada 59 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, satu mata pelajaran mengekalkan prestasi, manakala 24 mata pelajaran sedikit menyusut prestasinya berbanding tahun 2014,”ujarnya.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.