IPOH: Seramai 4,010 daripada 4,116 orang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 di negeri Perak telah mendapat keputusan lulus penuh dalam peperiksaan tersebut.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rozi Puteh Ismail berkata, jumlah peratusan lulus penuh pada tahun 2015 tersebut bagaimanapun menunjukkan penurunan.
“Daripada seramai 4,116 calon sekolah kerajaan, sejumlah 4,010 calon telah mendapat keputusan lulus penuh iaitu 97.72 peratus.
“Ia menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 0.59 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 98.01 peratus,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan pencapaian STPM bagi 2015 negeri Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata, daripada segi lulus peringkat prinsipal dalam mata pelajaran, seramai 4,110 calon telah lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 52 calon lulus lima Prinsipal, 2,752 (empat prinsipal); 950 (tiga prinsipal), 328 (dua prinsipal) dan 228 (satu prinsipal),” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sam Tet di Ipoh, Choong Wai Kean telah terpilih untuk menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2015 negara.
“Beliau mendapat lima prinsipal A Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4 bagi semua mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Matematik T, Fizik dan Kimia,” katanya.
Tambahnya, SMK Hua Lian, Taiping pula telah terpilih sebagai Sekolah Terbaik Negara Tahun 2015 dengan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) 3.35.
“Sekolah berkenaan mengekalkan lulus penuh 100 peratus dua tahun berturut-turut.
“Sekolah itu juga telah mencatat bilangan peningkatan PNGK 4.0 tertinggi negeri iaitu seramai 11 orang calon,” jelasnya.
Sementara itu, Rozi berkata, bilangan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan mendapat PNGK bersamaan 4.0 menunjukkan penurunan.
“Jumlah mendapat A dalam semua mata pelajaran menunjukkan penurunan sebanyak 0.14 peratus iaitu seramai 49 orang (1.19 peratus) berbanding tahun 2014 seramai 53 orang (1.33 peratus).
“Manakala seramai 1,393 orang calon pula telah mendapat PNGK antara 3.0 ke 4.0. Ini bermakna 33.84 peratus calon mendapat keputusan yang baik daripada keseluruhan calon,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, pencapaian STPM yang cemerlang tersebut banyak dibantu oleh Kerajaan Negeri Perak melalui Yayasan Perak.
“Kerajaan Negeri Perak melalui Yayasan Perak telah memberikan sumbangan kewangan untuk menjayakan pelbagai program pendidikan di negeri Perak.
“Semoga prestasi yang dicapai dalam STPM tahun ini akan menjadi cabaran kepada semua pihak dalam merealisasikan kecemerlangan pendidikan yang berterusan,” katanya.



0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.