Menu

IKLAN

PUTRAJAYA - Majlis Belia Malaysia (MBM) menegaskan bahawa mengupayakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diterajui industri merupakan faktor penting bagi membantu golongan belia berdepan isu dan cabaran untuk menceburi bidang kotor, bahaya dan sukar serta bersaing dengan pekerja asing.

Naib Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, ini kerana, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sebanyak 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan yang akan diwujudkan memerlukan kelayakan berkaitan TVET.

“Cabaran bukan mencapai sasaran pengambilan sahaja. Maklum balas daripada pihak industri mendapati wujud jurang antara pengetahuan, kemahiran dan sikap graduan berbanding dengan keperluan di tempat kerja.

“Isu berkenaan kualiti dan kuantiti bukan mudah untuk diselesaikan. Kolaborasi antara pihak industri dengan penyedia TVET sukar mencapai tahap yang diperlukan bagi membangun program yang berkualiti tinggi,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Perbincangan Meja Bulat, Pekerja Asing dan Industri 3D: Cabaran Getir Belia Malaysia di Menara Kementerian Belia dan Sukan, di sini.

Perbincangan melibatkan beberapa panel iaitu wakil daripada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Pusat Bertauliah Kemahiran Malaysia (Femac).

Jufitri berkata, TVET juga masih dianggap sebagai aliran pendidikan yang tidak menarik oleh kebanyakan pelajar.

“Cabaran yang menanti adalah getir. Justeru, usaha transformasi yang tepat adalah kritikal bagi memastikan matlamat Malaysia ke arah 2020 dicapai,” katanya.

Selain itu, katanya, empat elemen lain iaitu upah dan gaji; menangani pengangguran belia; sudut pandang majikan dan industri serta isu pekerja asing perlu dipandang serius kerajaan bagi membantu golongan belia.

Mengulas persidangan meja bulat tersebut, Jufitri berkata, banyak idea dan pandangan dikemukakan ahli panel bagi memastikan nasib belia terbela dalam berdepan suasana kerja yang lebih mencabar pada ketika ini.

-Sinar Harian

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top