IPOH : Perlawanan pertama diantara Malaysia dan New Zealand dalam Pertandingan Hoki Piala Sultan Azlan 2016 malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan seri tiga sama.
Perak mendahului jaringan gol pada minit ke-15 hasil jaringan Firhan Ashaari sebelum pasukan lawan menyamakan kedudukan pada minit ke-22 hasil pukulan Nick Wilson.
New Zealand kemudiannya memintas dengan mendahului rentak perlawanan apabila Nick Wilson berjaya menjaringkan gol pada minit yang sama.
Tidak mudah menyerah, Malaysia kemudiannya menyamakan jaringan gol pada minit ke-44 hasil daripada pukulan penalti yang dilakukan oleh Razie Rahim sebelum menambah satu lagi jaringan juga daripada pukulan penalti Shahril Saabah empat minit kemudian.
New Zealand kemudiannya melakukan asakan pukulan penalti beberapa kali sebelum Jacob Smith menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-55.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat untuk menyaksikan perlawanan tersebut di Stadium Sultan Azlan Shah.
Turut berkenan berangkat ke ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.
Mengiringi baginda, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli dan barisan exco negeri.
Pertandingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang ke-25 ini juga turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal negara, Dayang Nurfaizah sebelum perlawanan berlangsung.
Sementara itu, jurulatih pasukan hoki Malaysia, Stephen Van Huizen berkata, beliau ternyata berpuas hati dengan persembahan pemainnya dalam menentang New Zealand malam tadi.
"Saya lihat pemain kita telah bermain dengan bersungguh-sungguh walaupun berada dalam tekanan dan kita juga telah melakukan yang terbaik.
"Pertahanan kita juga cukup baik terutamanya apabila pasukan lawan melakukan serangan tanpa henti di minit-minit terakhir menerusi pukulan penalti,"ujarnya.
Katanya lagi, meskipun bukan mudah bermain dengan juara tahun lalu, namun beliau tetap berpuas hati dengan perlawanan malam tadi.
Malaysia akan bertemu dengan pasukan Jepun dalam perlawanan kedua, malam esok.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.