IKLAN


BAGAN SERAI: Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali menganjurkan konvoi kembara bermotosikal sebagai inisiatif pendekatan dakwah alternatif unik untuk golongan belia dan masyarakat kampung untuk mendekati masjid.
Konvoi ‘Bagan Serai Masjid Ride 2016’ yang dianjurkan itu menyaksikan sepuluh peserta konvoi bermotosikal diketuai oleh Personaliti Ekspedisi Kembara Bumi Suci, Nahrawi Marzoki bersama 30 peserta konvoi bermotosikal belia.
Konvoi tersebut turut singgah ke dua masjid di sini untuk memberi pengalaman bernilai bagi mendekati aktiviti kerohanian yang disediakan oleh institusi keagamaan tanpa mengorbankan minat bermotosikal.

Noor Azmi berkata, program tersebut julung kali dianjurkan di Parlimen Bagan Serai yang bertujuan untuk menghimpunkan golongan belia dan penduduk kampung berkonvoi menggunakan motosikal untuk ke beberapa buah masjid.
“Setiap kali persinggahan dibuat, kesemua peserta akan diajak melaksanakan solat sunat dhuha, solat tahiyatul masjid dan diberikan tazkirah oleh Ustaz Nahrawi selaku ketua konvoi.
“Selain itu, persinggahan di Masjid Jamek Tebuk Panchur dan Masjid Jamek Changkat Lobak memberi ruang kepada semua peserta bersemuka dengan pemimpin setempat dan ahli jawatankuasa masjid untuk mengeratkan silaturrahim satu sama lain,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya lagi, selain menjadikan ‘Masjid Ride’ sebagai platform dakwah, pihaknya juga dapat memanfaatkan konvoi tersebut untuk menarik perhatian golongan muda yang meminati aktiviti permotoran supaya lebih dekat dengan wakil rakyat.

Selain itu, kata Noor Azmi, penganjuran program sebegitu dapat memberi peluang kepada beliau untuk mendengar luahan masalah bukan sahaja dari golongan muda, malah dari penduduk setempat dikawasan masjid yang dikunjungi.
“Di samping menerapkan dakwah, pihak kami turut berpeluang menyelami permasalahan penduduk kampung dan golongan anak muda dan akan berusaha menyelesaikannya sepantas mungkin.
“Saya amat berpuas hati dengan sambutan luar biasa ditunjukkan peserta konvoi dan penduduk kampung yang hadir dan percaya pendekatan turun padang sebegini lebih praktikal kerana bersifat serampang dua mata,”katanya.

Ujar Noor Azmi, program ‘Masjid Ride’ itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini turut dicadangkan agar diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.
“Pada masa akan datang, kita akan memperkukuhkan lagi intipati program selingan dalam program ‘Masjid Ride’ dengan pelbagai kuliah atau aktiviti keagamaan bersesuaian bagi memastikan peserta mendapat lebih banyak ilmu bermanfaat.
“Selain itu, saya turut mencadangkan anak muda yang hadir pada hari ini dapat menarik sekurang-kurangnya seorang lagi rakan mereka untuk menyertai kembara keagamaan ini pada masa akan datang, sekaligus menjadi agen pendakwah secara tidak langsung.
Ujarnya lagi, perkara ini penting bagi menggalakkan lebih ramai anak muda tertarik untuk mendekati masjid sekaligus menghindarkan pelbagai kegiatan tidak bermoral daripada pengaruh media sosial.
Sementara itu, bagi Nahrawi pula, konvoi bermotosikal yang diadakan ini merupakan satu program riadah bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim sesama insan.

Mengulas lanjut, penganjuran program konvoi bermotosikal itu berlandaskan dakwah lebih memberi berkat kepada peserta di sepanjang perjalanan dan pihaknya bersyukur diberi kepercayaan melibatkan diri dalam program tersebut.
“Saya bersedia melibatkan diri dengan lebih banyak program sebegini di Parlimen Bagan Serai pada masa hadapan dan bercadang menyelitkan tambahan beberapa kursus keagamaan asas kepada peserta konvoi kelak.
“Antara kursus asas dicadangkan seperti kursus penyembelihan haiwan, kursus pengurusan jenazah dan kursus perkahwinan di mana modul pengisian disesuaikan dengan matlamat berdakwah secara sopan santun dan tidak langsung meskipun pada masa singkat,”katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar program ‘Masjid Ride’ itu dapat diperluaskan ke seluruh negara kerana impak program tersebut memberi kesan yang positif kepada golongan belia selain memberi manfaat kepada penduduk kampung.
Bagi Pengurus Besar Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Mohd Rizal Mohd Rosli, pendekatan yang digunakan itu wajar dipuji kerana menggunakan medium yang diminati golongan belia dalam misi menyampaikan dakwah.
Ujarnya, sudah tiba masanya wakil rakyat menerapkan unsur dakwah dalam setiap aktiviti turun padang dalam mendekati rakyat dan program ‘Masjid Ride’ adalah contoh pendekatan yang terbaik.


03 Apr 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top