IKLAN



IPOH: Pengurus Liga Super skuad The Bos Gaurus, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pasukan Perak akan memberi fokus pada saingan Piala FA dalam menentang pasukan PKNS di Melaka, malam esok bagi peringkat separuh akhir pertama.

Ujarnya, ia sama seperti yang dikatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang mahu memberi fokus pada saingan Piala FA untuk perlawanan pertama separuh akhir.

“Fokus kita adalah untuk perlawanan malam esok bagi memastikan kita melayakkan diri ke peringkat akhir Piala FA selepas 12 tahun.

“Seluruh pasukan akan memberi perhatian sepenuhnya kepada perlawanan malam esok dan saya yakin dan percaya, walaupun dua perlawanan yang lalu kita tewas,dengan semangat yang ditunjukkan oleh pemain kita, kita akan bangkit semula,”katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Ujarnya lagi, dalam dua perlawanan terakhir, pasukan Perak dapat menjaringkan gol dan perkara itu perlu dilihat dari sudut yang positif.

“Dalam dua perlawanan yang terakhir juga, gol-gol itu dijaringkan oleh pemain-pemain import kita yang sebelum ini dilihat kurang berjaya menjaringkan gol.

“Dalam masa yang juga, kita perlu melihat aspek pertahanan kita kerana umum mengetahui sebelum ini, pertahanan kita cukup kental, tetapi dua perlawanan terakhir, gawang gol kita telah dibolosi,”ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Zaman berkata, beliau menghormati keputusan PAFA yang bertindak menolak perletakan jawatan beliau sebagai Pengurus Pasukan Liga Super Negeri Perak.

Tegas beliau, beliau bukannya ingin lari dari tanggungjawab, tetapi beliau mengambil pendekatan untuk memegang konsep pertanggungjawaban dan akauntabiliti.

“Maka oleh kerana persembahan yang tidak baik dalam Liga Super, maka saya mengambil ketetapan untuk meletak jawatan. Mungkin ada yang lebih layak untuk menjadi pengurus pasukan bola sepak Perak.

“Tetapi, PAFA mengambil keputusan untuk tidak menerima perletakan jawatan tersebut. Atas rasa hormat dan tanggungjawab, maka saya akan teruskan tugas saya sebagai Pengurus pasukan Liga Super Perak,”ujar beliau yang juga Timbalan Presiden PAFA.

14 Apr 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top