IKLAN


IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mencari jalan penyelesaian untuk membantu juara Moto3 MotoGP Argentina, Khairul Idham Pawi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jelas Shahrul Zaman, ini kerana siri MotoGP dunia dijangka akan berlangsung sehingga Disember ini.
“Kalau nak ikut jadual peperiksaan SPM yang sebenar, memang dia (Khairul Idham) tidak boleh menduduki peperiksaaan SPM.
“Jadi, kita akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan dan JPN jika ada penyelesaian kepada perkara tersebut kerana kita tidak mahu beliau ketinggalan dalam bidang akademik,”katanya dalam satu sidang media ketika Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Shahrul Zaman berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa Khairul Idham telah menerima banyak tawaran daripada Insitut Pengajian Tinggi (IPT) Swasta khususnya untuk memasuki kolej atau kolej universiti.
“Tetapi tentulah prasyaratnya mesti ada SPM. Jadi kita akan bantu supaya pencapaian akademiknya selari dengan pencapaian beliau dalam bidang permotoran,”katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, sehingga kini terdapat banyak pihak yang telah menyatakan kemungkinan untuk membantu Khairul Idham termasuklah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya difahamkan juga, KBS juga sedang melihat bagaimana mereka boleh membantu Khairul Idham. Menteri KBS, Khairy Jamaluddin juga akan melihat bagi membantu dalam hal tersebut.
“Kita akan berbincang dengan KBS dan pihak-pihak lain untuk membantu Khairul Idham dalam musim-musim perlumbaan,”ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mewakili kerajaan negeri telah menyampaikan insentif sebanyak RM100,000 kepada Khairul Idham berikutan kejayaan yang dirangkulnya dalam pertandingan Moto3 MotoGP Argentina baru-baru ini.
Selain itu, Pengurus Besar Yayasan Perak, Abdul Razak Mohamed turut menyampaikan insentif kepada pelumba dari Kampung Gajah itu.


14 Apr 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top