PARIT BUNTAR : Dalam mencapai status negara maju pada tahun 2020, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah membangunkan pelbagai inisiatif termauklah usaha memperkasakan sistem pertahanan siber negara.
Berikutan itu, 'Ops Jelajah Siber 2.0 Edisi Perak' yang dirasmikan ini menyaksikan Cyber Security Malaysia yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bekerjasama dengan KPerak Inc Corp dan Pejabat Pendidikan Daerah Kerian.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia berkata, program-program khusus yang berkaitan pembangunan dan penerapan budaya Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) diperkenalkan tepat pada masanya oleh MOSTI.
"Ini kerana ia merupakan salah satu cabang inovasi yang boleh membawa impak secara langsung dan boleh dirasai oleh rakyat.
"Ianya memberi manfaat kepada masyarakat tetapi juga meningkatkan keupayaan individu untuk bertindak melalui jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak,"ujarnya ketika merasmikan program tersebut, semalam.
Ujarnya, penganjuran Ops Jelajah Siber 2.0 Edisi Perak seiring dengan program Permukiman Menteri Besar Perak di daerah Kerian malah bertepatan dengan objektif kerajaan negeri untuk bertemu rakyat.
Tambah beliau lagi, program yang berlangsung selama dua hari itu amat istimewa kerana ia bertujuan untuk menyedarkan masyarakat bahawa dunia telah berubah menjadi digital dan perlu diperkasakan diri dengan menimba ilmu berkaitan kehidupan yang serba digital.
"Kita akan menjadi lebih peka terhadap apa juga gejala yang melanda, lalui ancaman dengan penuh kesiapsagaan dan menanganinya dengan lebih bijaksana, berhemah dan bertanggungjawab,"ujarnya.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Ketua Pegawai Eksekutif KPerak Inc Corp, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.