PETALING JAYA 23 Jun - Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus
berdolak-dalik dengan mencipta pelbagai alasan tidak munasabah bagi
menutup kelemahan parti itu yang menyaksikan beberapa siri kekecohan
pada pemilihan semula di beberapa cabang yang berlangsung kelmarin dan
semalam.
Paling menjengkelkan adalah apabila Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan
Pusat PKR, Datuk Johari Abdul memberikan alasan masalah teman wanita
mungkin menjadi punca pergaduhan di cabang Kota Raja semalam sehingga
menyebabkan beberapa ahli parti cedera.
"Pukul orang semua itu, kita tak boleh cakap kerana pemilihan.
Kadang-kadang bergaduh kerana girl friend (teman wanita), jadi bila
jumpa di sini, pukullah. Kita pun tak tahu tapi mungkin tiada kaitan
langsung dengan pemilihan," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat
PKR, di sini hari ini.
Semalam, dua ahli PKR cabang Kota Raja cedera selepas terlibat dalam
pergaduhan semasa proses pengundian semula berlangsung pada pukul 4.15
petang kerana wujud dakwaan salah seorang pengundi cuba mensabotaj
pemilihan dengan merosakkan peti undi.
Sehari sebelum itu, ahli PKR cabang Setiawangsa, Zainol Arif
Jamaludin, 46, terpaksa menerima 20 jahitan di kepala selepas cedera
parah dibelasah sekumpulan lelaki menggunakan kerusi sebaik proses
pemilihan semula PKR cabang Kuala Langat selesai.
Mengulas mengenai insiden kekecohan terbaru itu, Johari kemudian
memberi alasan dengan berkata, pihak yang alergi peti undi dipercayai
menjadi punca kepada tercetusnya kekecoh-an di cabang Kuala Langat dan
Kota Raja sehingga menyebabkan kecederaan.
Beliau berkata, kelompok tersebut langsung tidak boleh lihat peti
undi sehingga ada cubaan membakarnya pada proses pemilihan semula minggu
lalu tetapi berjaya dihalang dan jelasnya, golongan sama juga dikesan
bertindak menendang peti undi sebelum ini.
"Proses berjalan dengan baik, cuma ada sedikit kekecohan. Kita sedang
buat siasatan sekiranya benar bukan anggota PKR, kita akan serahkan
kepada polis. Kalau anggota kita, kita akan ambil tindakan dan lembaga
disiplin parti sedang siasat," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.