IPOH : 1Malaysian Youth City (1MYC) Tanjong Malim dijangka mampu menarik minat belia bandar dan luar bandar untuk menetap, bekerja dan beraktiviti di bandar tersebut yang akan menjadi sebuah bandar moden, dinamik dan inklusif.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, 1MYC memberi penekanan kepada pusat kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan kemahiran, perumahan mampu milik, rumah transit dan kemudahan riadah.
"Ia juga menitikberatkan penjanaan peluang pekerjaan, kemudahan aksesbiliti, jaringan komunikasi dan penglibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Sudah pasti, pihak kerajaan negeri melihat Kerajaan Persekutuan ini sebuah cerminan usahasama dan wawasan yang cukup selari untuk dijayakan demi manfaat bersama,"katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri, semalam.
Tambahnya lagi, dibawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), 1MYC akan mempunyai ekosistem komprehensif bagi membolehkan belia, khususnya generasi muda Negeri Perak meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam kerjaya serta keusahawan disamping menikmati kemudahan rekreasi, perumahan termasuklah rumah transit.
Terdahulu, 1MYC merupakan satu inisiatif National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pembentangan Bajet Negara 2015.
NBOS Summit turut bersetuju dengan inisiatif ini pada 21 Ogos 2014 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri. Inisiatif ini akan melibatkan tiga negeri iaitu Perak, Sabah dan Sarawak,
Tanjong Malim merupakan lokasi strategik yang terpilih dan menjadi projek perintis pelaksanaan 1MYC yang lain.
Perdana Menteri turut dimaklumkan berkaitan 1MYC ketika Mesyuarat NBOS Summit pada 18 Disember 2014 dan diumumkan secara rasmi ketika berucap di Silveryouth Fest 2015 pada 6 September lalu di Taman DR, Ipoh.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.