IPOH: Kerajaan Negeri sentiasa membantu golongan belia di negeri ini untuk maju daripada sudut modal insan dan ekonomi melalui pelbagai program-program yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN – Rungkup) berkata, antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Belia Sukan Negeri Perak, KPerak, Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, institut-institut pengajian tinggi (IPT) di negeri Perak dan NGO.
“Dari sudut modal insan pula, antara program yang dianjurkan ialah Kursus Kepimpinan Organisasi Tahap 1 dan 2 dengan seramai 1,280 peserta seluruh negeri, Program Bina Insan Belia (320 orang peserta seluruh negeri), Y-Cemerlang (50 orang peserta dari setiap daerah) dan bantuan NGO Belia (10,000 peserta seluruh negeri),”katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN-Lintang) dalam persidangan DUN, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shahrul berkata, antara program yang dianjurkan daripada sudut ekonomi pula ialah Kursus Asas Keusahawan dengan penyertaan 30 orang belia, Latihan Kemahiran Tidak Formal (330 orang) dan Program Belia Bestari Zon Utara (30 orang).
“Dalam hal ini, pihak Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah selaku agensi Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bersama melaksanakan beberapa siri program bagi maksud yang sama seperti Latihan Niaga, Rancangan Perniaga, Aplikasi ICT dan beberapa program lain.
“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak ada menyediakan program-program dan aktiviti yang berbentuk pembangunan usahawan bagi menggalakkan generasi muda dan golongan belia menyertai sektor pertanian,” ujarnya.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.