Menu

IKLAN


Baru berusia 29 tahun, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan telah menerima tanggungjawab sebagai Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh sejak Jun lalu.

Sebelum berpindah ke Masjid Sultan Azlan Shah, beliau turut dilantik menjadi Imam Besar di Masjid Muhibbuddin Shah atau lebih dikenali sebagai Masjid Hospital.

Selain itu, beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam, di Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) sejak Julai 2014 sehingga sekarang.

Bercerita mengenai latarbelakang Syed Mohd Muzaffar, beliau dilahirkan di Perak Polyclinic, Jalan Yang Kalsom Ipoh pada 18 November 1986.

Diantara empat masjid utama di Perak iaitu Masjid Sultan Azlan Shah, Masjid Muhibbuddin Shah, Masjid Sultan Idris Shah (Masjid Negeri) dan Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Syed Mohd Muzaffar merupakan Imam Besar termuda yang dilantik.

Syed Mohd Muzaffar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya sehingga darjah empat sebelum memasuki Madrasah Tahfiz Al-Anwar, Bukit Chandan di Kuala Kangsar. 

Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin di Kampung Tualang Sekah, Malim Nawar, Kampar.

Di sana, beliau telah menghafaz 30 juzuk kitab suci agama Islam, Al-Quran sewaktu masih belajar di sana.


Anak ketiga dari empat beradik ini kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam Diploma Usulluddin di Kolej Islam Darul Ridzuan (kini dikenali sebagai Kolej Universiti Sultan Azlan Shah atau KUISAS) dengan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA), 3.66.

Dengan keputusan cemerlang itu, beliau kemudiannya mendapat tawaran menyambung pelajaran di Universiti Mu’tah, Al Karak, Jordan di dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan pencapaian 77.73 peratus.

Sewaktu belajar di Jordan, Syed Mohd Muzaffar turut menerima Anugerah Cemerlang Akademik dari Education Malaysia Jordan, Kedutaan Besar Jordan.

Suami kepada Noratikah Ismail ini turut aktif sewaktu masih belajar di KUISAS, beliau telah menyertai pelbagai program-program yang melibatkan mahasiswa selain daripada mengetuai sebahagian program-program tersebut.

Antara program yang diketuainya adalah Ketua Unit Ibadah dan Kerohanian Minggu Penghayatan Mahasiswa (2008), Ketua Unit Koordinasi dan Protokol Proram Minggu Sambutan Maal Hijrah (2008), Pengarah Program Kem Kepimpinan Mahasiswa Islam (2008) dan Monitor II Program Tayangan Ramadhan dan IFTAR Jamaee (2008).

Selain itu, bapa kepada Syed Ahmed Shauqie El Faateh dan Syed Muhammed Shaakir  turut aktif dengan pelbagai aktiviti-aktiviti luar yang mendekatkan dirinya dengan masyarakat sekeliling.

Antara kegiatan yang disertainya adalah Program Ziarah Dakwah Masyarakat Perkampungan Orang Asli KOA Lalang di Ulu Kinta dan turut menjadi penceramah Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Negeri Perak.




0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top