Menu

IKLAN


PETALING JAYA - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap belia yang terbabit dalam kumpulan militan IS.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata ini berikutan terdapat golongan belia di negara ini yang menunjukkan rasa simpati terhadap IS menerusi media sosial.

"Saya harap tiada belia Malaysia menyertai IS. Saya menggesa pihak keselamatan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang ingin menyertai IS dan didapati pernah pergi ke Syria ataupun Iraq," katanya kepada pemberita pada majlis penutup program Fit Malaysia 2015 di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai siri serangan maut di Paris pada Jumaat malam melibatkan sebuah dewan konsert, restoran-restoran di pusat bandar dan berdekatan Stadium Stade de France yang mengorbankan 129 orang dan lebih 350 orang cedera.

Laporan media antarabangsa memetik militan IS mengaku mendalangi siri serangan secara tembakan rambang dan letupan bom di bandar raya itu.

Khairy turut mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut yang mempergunakan nama Islam.   

"Mereka (IS) menggunakan nama Islam tetapi mereka tidak melambangkan agama kita...mereka ini adalah pembunuh, mereka adalah kejam," katanya.

 - Bernama


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top