Menu

IKLAN

Sumber Gambar: Google
Menjelang cuti sekolah pada minggu hadapan, pastinya cuti hujung minggu akan dipenuhi dengan kad-kad jemputan walimatulurus daripada sanak saudara dan rakan-rakan. Ada majlis kenduri kahwin yang diadakan di kawasan rumah, dewan orang ramai dan tidak terkecuali diadakan di hotel-hotel mewah.

Namun, di sebalik kemeriahan setiap majlis kenduri kahwin yang dihadiri oleh sanak saudara dan rakan-rakan, pastinya masalah kewangan dan kos untuk menganjurkan majlis untuk menjamu semua tetamu yang hadir.

Kos penganjuran sesuatu majlis perkahwinan bukanlah sesuatu yang murah, tambahan pula, dengan kos membeli barang yang semakin mahal, pasangan yang akan berkahwin pula perlu berbincang mengenai wang hantaran dan juga barang-barang hantaran sebelum lafaz ijab dan Kabul dilafazkan.

Mohamad Faizal Kamarulzaman 26 berkata, kos untuk menganjurkan satu majlis sebelum perkahwinan terserah kepada diri pasangan masing-masing.

“Bagi saya, kos perkahwinan ini terserah pada pasangan itu sendiri. Tetapi kebanyakkannya akan berbelanja besar disebabkan saudara mara akan datang.

“Kos kahwin seharusnya ditanggung oleh pihak lelaki sekiranya perempuan itu tidak bekerja. Tetapi kalau perempuan itu bekerja, lebih baik sama-sama menanggung kos perkahwinan tersebut,”katanya.

Pekerja swasta, Siti Amerahanisa Hussain 23 pula berpendapat, kos perkahwinan ini perlu ditanggung oleh kedua-dua pasangan tanpa mengharapkan bantuan daripada ibubapa.

“Pendapat saya, kalau kedua-dua pasangan berkemampuan, mereka perlu tanggung sendiri kerana mereka sudah bekerjaya.

“Ibubapa mungkin boleh membantu setakat yang perlu. Tetapi, jika ada pasangan yang masih belajar dan ingin mempunyai ikatan bagi mengelakkan maksiat, ibubapa mungkin boleh membantu,”jelasnya.

Mengulas lanjut, dari segi hantaran pula, kedua-dua perlu berbincang supaya tidak membebankan pasangan pengantin.

“Sebab itu pentingnya merisik dan bertunang. Bukan sahaja sebab ianya sekadar adat, tetapi ada tujuannya juga,”ujarnya.

Pekerja swasta, Nazwan Fazli Azizi 24 turut meluahkan pendapatnya berkaitan kos perkahwinan yang semakin tinggi pada masa kini.

“Kos kahwin sekarang ini sebenarnya tinggi jika kita melihat dari sudut wang hantaran, persiapan majlis dan sebagainya.

“Ini menyebabkan kebanyakkan ibubapa meletakkan hantaran yang agak tinggi. Ada juga yang meletakkan hantaran mengikut taraf pendidikan anak mereka. Tetapi ada juga yang tidak kisah tentang wang hantaran.

“Tetapi bagi saya, tidak wajar jika hanya pihak lelaki sahaja yang menanggung kos perkahwinan jika dilihat dengan keadaan ekonomi semasa,”ujarnya.

Oleh itu, tambahnya, kedua-dua pihak perlu saling membantu kerana kehidupan selepas kahwin sangat penting.

“Cukuplah membuat majlis perkahwinan mengikut kemampuan masing-masing,”katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Lyssa Faizureen Nor Hishan turut mengakui kos bagi menganjurkan perkahwinan sekarang masih tinggi.

“Memang kos kahwin hari ini semakin tinggi. Jadi, kepada mereka yang ingin berkahwin, kena berusaha lebih untuk berkahwin.

“Mengikut pengalaman saudara dan kawan-kawan yang berkahwin, hantaran selalunya ditanggung oleh pihak lelaki. Tetapi jika kedua-dua ingin menanggung kos, itu kena ikut persetujuan pihak perempuan,”kata pelajar berusia 23 tahun itu.

Menurut seorang lagi anak muda yang hanya mahu dikenali sebagai Boni 26,  ramai anak muda hari ini keliru antara yang adat dan agama.

“Ramai yang jadikan alasan kos kahwin mahal sebagai punca mereka tidak berkahwin, dan yang paling teruk, tingal serumah bagai pasangan suami isteri. Tetapi itulah kesilapan paling besar yang orang kita buat.

“Bagi saya, dalam urusan kahwin ini, yang paling wajib hanyalah akad nikah. Kenduri, pelamin, hantaran dan sebagainya cumalah adat orang Melayu. Ini yang perlu dibetulkan dalam pemikiran orang kita.

“Sekarang ini terbalik, yang adat dijadikan nombor satu, yang wajib jauh ke belakang. Islam ini mudah,”katanya.

Tambahnya lagi, ibubapa perlu membuka mata, terutama mereka yang mempunyai anak gadis.

“Permudahkan urusan anak gadis sebab bila ia jadi sukar dengan pelbagai perbelanjaan untuk adat, maka teman lelaki mereka akan memilih jalan singkat dengan melakukan perkara tidak elok,”nasihatnya.


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top