Meskipun tidak menamatkan
pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) beberapa tahun lalu, Sheikh El
Ash Shaff Shaik Daud masih boleh berjaya asalkan terus berusaha untuk mengubah
nasib hidupnya.
Bercerita di sebalik kejayaan
penternak ikan sangkar di Pulau Langkawi, Sheikh El Ash berkata, beliau
mendapat tawaran daripada Pusat Pembangunan Usahawan Siswazah Universiti Malaya
(PUSMAL) di dalam bidang perikanan.
“Waktu itu, PUSMAL membuka kursus
perikanan selama dua tahun dan terus diberi peluang untuk menjalankan
perniagaan tersebut.
“Semasa saya nak berhenti belajar
dari UiTM, keluarga ada menasihati saya untuk berfikir semula tentang
keputusan, tetapi saya tekad untuk mengambil kursus yang ditawarkan oleh
PUSMAL,”katanya.
Ceritanya lagi, sepanjang kursus,
beliau dan pihak PUSMAL ada berbincang untuk membuat projek ternakan ikan di
Teluk Dalam, Pulau Pangkor, tetapi ada banyak masalah untuk menjalankan projek
di situ. Kemudian, beliau mendapat tapak di pulau lagenda, Pulau Langkawi,
Kedah.
“Semasa mula-mula mahu membuka
kolam ternakan ikan sangkar ini, terdapat 20 orang rakan-rakan saya. Setiap seorang
perlu mengeluarkan modal sebanyak RM20,000.
“Masa itu tak ada bantuan
kewangan yang lain. Kita Cuma mendapat bantuan dalam bentuk sangkar ikan
daripada Jabatan Perikanan Langkawi, benih ikan dan palet,”katanya.
Tambahnya, beliau memulakan
perniagaan ternakan ikan sangkar ini sewaktu berusia 23 tahun, dan pada ketika
itu, mencari modal sebanyak RM20,000 bukanlah sesuatu yang mudah.
Sheikh El Ash berkata, beliau
meminjam wang daripada saudara-maranya bagi menjalankan perniagaan tersebut. Namun,
masih ada juga saudaranya cuba menjatuhkan semangat beliau untuk menjalankan
perniagaan tersebut.
“Ada saudara yang cuba
menjatuhkan semangat saya. Tapi saya cuba cara lain, saya cari inisiatif. Alhamdulillah,
keluarga menyokong usaha saya,”ujarnya.
Bercerita lanjut, sewaktu masih
di bawah pengawasan PUSMAL, banyak agensi-agensi kerajaan datang membantu
mereka. Tetapi, PUSMAL melepaskan mereka untuk bergerak sendiri selepas mampu
menjalankan perniagaan tanpa pengawasan pihak mereka.
“Tak ramai yang boleh bertahan
dalam industri ini kerana membela ikan sangkar ini mengambil masa sekitar 10
bulan hingga setahun. Ada yang telah berkahwin. Jadi kami tak boleh buat gaji
bulanan. Asalkan boleh makan, boleh jaga ikan, dah cukup.
“Jadi, makin lama, seorang demi
seorang keluar daripada syarikat yang kami bina. Sekarang, daripada 20 orang, Cuma
tinggal empat orang mengendalikan perniagaan yang beroperasi sejak 2009,”jelasnya.
Bercerita mengenai pengalaman
pahit beliau sepanjang menjalankan perniagaan ikan sangkar ini, beliau mengakui
pernah mengalami kerugian besar.
“Saya pernah mengalami kerugian
sampai kami (rakan kongsi) terpaksa berkongsi makanan. Puncanya disebabkan
banyak ikan mati akibat perubahan cuaca yang mendadak. Kami memerlukan
sekurang-kurangnya 40 peratus ikan yang boleh dijual untuk menampung kos
operasi.
“Lebih kurang dua atau tiga kali
juga perkara ini terjadi. Tetapi sumber kekuatan saya untuk bangun semula
adalah disebabkan keluarga,”katanya.
Tambahnya lagi, beliau sekarang
boleh menarik nafas lega apabila hasil ternakannya boleh mendatangkan hasil
sekitar 350 kilogram hingga 500 kilogram setiap kali dituai.
“Sekarang kami mempunyai 10
sangkar. Insya Allah, pada bulan satu, kami nak tambah lagi 10 sangkar.
“Kita menuai dua kali setahun.
Setiap kali dituai, dianggarkan sekitar 350 kilogram hingga 500 kilogram dapat
dihasilkan untuk semua sarang,”ujar.
Beliau turut mengakui, mampu
menjana pendapatan sekitar RM2,000 sebulan hasil ternakan ikan sangkar yang
dijalankannya.
“Kepada anak muda yang ingin
menjalankan perniagaan, pegang pada empat prinsip ini, berdoa, jangan berputus
asa, jaga masa dan berdisiplin. Insya Allah, anda akan berjaya,”nasihatnya.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.