PUTRAJAYA - Bermula Januari depan, pelatih Kursus Terapi Kecantikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) berpeluang memperoleh pengalaman pekerjaan yang sebenar dengan pembukaan pusat kecantikan atau spa di di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini.
Ditubuhkan melalui kerjasama strategik bersama syarikat yang terkenal dalam perkhidmatan personal dan kosmetik iaitu Nouvelles Vissages (NV), spa KBS-NV itu akan dikendalikan oleh pelatih-pelatih yang mengikuti kursus itu, antaranya di IKBN Peretak dan Kuala Langat, Selangor.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, tujuan utama penubuhan spa itu di KBS adalah bagi membolehkan pelatih mempraktikkan kemahiran yang dipelajari seterusnya 'menjual' perkhidmatan berkenaan kepada pihak luar secara profesional.
"Bila kita ada idea ini, dan setelah ada hubungan dengan pihak NV, saya rasa amat sesuai kita buat satu spa bersama dengan NV, tujuannya bukan hanya untuk ada spa di KBS sebaliknya bagi sediakan premis agar pelatih IKBN boleh memperoleh pengalaman pekerjaan yang sebenar.
"Kita pilih bangunan KBS sebagai lokasi sebab ingin beri peluang kepada pelatih berkhidmat di tempat terbuka berbanding hanya mempraktikkan kepada rakan-rakan di IKBN yang tentunya tidak boleh diakses orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan perjanjian kerjasama antara kementerian itu dengan syarikat Nouvelles Visages yang diwakili Pengarah Urusannya Erni Dekritawati Yuliana Bukhari di sini, hari ini.
Khairy berkata pembukaan spa itu merupakan permulaan kepada KBS di dalam menggunakan kaedah "Authentic Learning" kepada pelajar-pelajar IKBN, iaitu pendedahan terus kepada pelatih tentang alam pekerjaan sebenar sekali gus memupuk motivasi untuk menjadi usahawan dalam bidang itu.
Mengenai memorandum itu, beliau berkata selain diberikan 100 penempatan latihan industri kepada pelatih IKBN, kerjasama itu juga membolehkan NV memberikan khidmat nasihat bagi menambah baik modul pengajaran kecantikan yang diajar sekaligus meningkatkan kerelevanan kursus kepada keperluan semasa pekerjaan.
"Ini antara usaha KBS untuk pastikan kursus yang diajar di IKBN sentiasa relevan dengan industri dalam memastikan kebolehpasaran pelatih selepas menamatkan latihan dalam bidang berkaitan," katanya.
- Bernama
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.