Menu

IKLAN


SHAH ALAM - Majalah Remaja keluaran Kumpulan Media Karangkraf merangkul anugerah utama kategori Reka Bentuk Muka Hadapan Majalah Terbaik Tahunan dalam  majlis Anugerah Majalah 2015 anjuran Persatuan Penerbit Majalah Malaysia (MPA).

Majalah Remaja keluaran Oktober tahun lalu itu mengangkat konsep seni dengan model penghias Nad Zainal berjaya memikat hati juri.

Kejayaan tersebut menyaksikan Remaja mengalahkan lebih 20 majalah lain yang turut sama bertanding dalam kategori sama.

Pengarah Eksekutif (Penerbitan Buku dan Majalah) Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, kemenangan tersebut erupakan satu bonus berharga.

“Kami tidak menjangka kemenangan ini. Konsep muka hadapan majalah ini kami pilih dengan berhati-hati dan mengetengahkan yang terbaik.

“Kami juga memenangi enam anugerah lain daripada 10 penyertaan yang di hantar. Apa yang kami pertaruhkan berjaya memenangi hati juri,” katanya, semalam.

Bagi Editor Remaja, Rafiq Mazlan, keputusan untuk melakukan sedikit kelainan pada muka depan majalah tersebut sebagai sesuatu yang berbaloi.

“Untuk keluaran isu bulan tersebut adalah berkonsep seni. Jadi kami merasakan untuk muka depan, sisi dan cara penyampaian kena berbeza dari kebiasaan dan perlu ada elemen dominan iaitu seni.

“Jadi ia bermula dengan konsep solekan ala ‘Twiggy’ untuk penghias muka hadapan iaitu Nad Zainal di mana kita minta jurusolek untuk buat solekan yang agak berat di bahagian matanya,” katanya.

Untuk tampak abstrak, katanya, Grafik Kanan Remaja, Ira Hazla memberi idea tulisan berasaskan ‘brush’.

“Ditambah pula dengan foto cantik oleh juru foto Tuan Azman Tuan Muda yang mempengaruhi konsep secara keseluruhan

“Ia satu penghargaan besar buat kami dan menjadi pemangkin semangat untuk terus menghasilkan yang terbaik buat pembaca,” katanya.

Remaja turut merangkul Anugerah Emas Muka Hadapan bagi kategori Fesyen dan Kecantikan.

Majalah lain Karangkraf iaitu Laman, Umpan dan Maskulin masing-masing memenangi Anugerah Perak dalam kategori Muka Hadapan Hiasan Rumah, ‘Special Interest/Niche’ serta Lelaki dan Gaya Hidup.

Majalah Pengantin dan Impiana pula berjaya memenangi Anugerah Gangsa dalam kategori Muka Hadapan Wanita dan Hiasan Rumah.

-Sinar Harian


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top