IKLAN

IPOH: Seramai 400,000 pelajar serta guru telah menerima manfaat menerusi Amanjaya Tuisyen Online dan Mind Mapping.
Program pembelajaran dan ulangkaji atas talian tersebut telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri Perak sejak dua tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sehingga kini, sebanyak 4,200 modul telah dimuatnaik dalam bentuk video ulangkaji bagi kegunaan para pelajar dan guru.
“Mereka hanya perlu akses ke sistem yang telah diperkenalkan (ezlearn2u.my) dan dapat mengulangkaji bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Sejarah, Fizik dan Matematik Tambahan bagi peringkat sekolah menengah.
“Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan kaedah ‘Mind Mapping’ iaitu kaedah bagaimana seseorang pelajar itu dapat diubah sikapnya daripada seorang yang tidak mahu belajar, seorang yang tidak faham dalam subjek-subjek tertentu, akhirnya berjaya dalam subjek tersebut,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Amanjaya Tuisyen Online dan Mind Mapping di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, hari ini.

Turut hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Rozi Puteh Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kperak Implementation & Coordination Corporation, Mohd Nazaruddin Mohd Yusuf, Timbalan Pengarah IPG Kampus Ipoh, Dr Mohd Nasaruddin Basar dan barisan Exco kerajaan negeri.
Ujar Zambry, sistem ulangkaji atas talian itu boleh digunakan oleh pelajar dari peringkat sekolah rendah dan menengah.
Zambry turut berharap agar sistem yang diperkenalkan itu dapat menjadi tarikan kepada para pelajar khususnya yang berada di luar bandar.
“Apa yang menjadi cabaran kepada kita kali ini adalah bagaimana kita nak memastikan supaya mereka dapat mengikuti pelajaran atas talian di kawasan luar bandar.
“Oleh itu, saya telah meminta kepada KPerak untuk memastikan supaya akses di luar bandar hendaklah dipertingkatkan dan kajian hendaklah dibuat dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga telah membuat satu lagi pendekatan untuk tidak akan menumpukan pada satu-satu syarikat bagi memastikan supaya penyediakan akses ini dapat dilaksanakan, khususnya melibatkan syarikat-syarikat yang bertanggungjawab (syarikat telekomunikasi).
“Tetapi pada kali ini, kita ingin membuka ruang supaya dengan adanya lebih syarikat yang bertanggungjawab. Ianya akan memberi ruang akses yang lebih baik di seluruh negeri Perak,”ujarnya.
Sehubungan itu, beliau juga mengharapkan kerajaan negeri menerusi Exco bertanggungjawab akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan untuk dapat memastikan akses kepada internet dapat meliputi semua kawasan di Perak menjelang tahun 2020.


31 Mar 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top