GERIK: Kejohanan 9th Royal Belum Ironbound
Challenge Series yang berlangsung pada 10 dan 11 Oktober lalu berakhir dengan
menyaksikan pasukan dari New Zealand, Seagate dan SNR Adventure Racing Team
menjadi juara keseluruhan bagi kategori antarabangsa dan tempatan.
Pasukan Seagate telah membawa pulang wang tunai RM20,000
manakala pemenang kategori tempatan membawa pulang wang tunai bernilai
RM10,000.
Tempat kedua bagi kategori antarabangsa menjadi milik
pasukan Torpedo 7, juga dari New Zealand membawa pulang wang tunai berjumlah
RM15,000 dan pasukan dari Denmark, Team Merrel terpaksa berpuas hati di tempat
ketiga dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.
Bagi kategori tempatan, pasukan KE7B ATM menjadi menduduki
tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM7,000 manakala tempat ketiga
menjadi milik pasukan Kamikaze yang membawa pulang wang tunai RM5,000.
Keputusan keseluruhan itu diambil berdasarkan keputusan hari
pertama perlumbaan yang diadakan pada Sabtu, berikutan perlumbaan pada hari
kedua terpaksa dibatalkan atas isu keselamatan para peserta.
Sementara itu, tiga pelumba yang terkandas di dalam Hutan
Belum berjaya dibawa keluar dan tiba di tempat penginapan kira-kira jam 5
petang, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia,
Datuk Shahrul Zaman Yahaya berkata, kerjaan negeri bersama-sama pihak penganjur
NSR Adventure Consultant akan terus bekerjasama bagi memastikan kejohanan
tersebut dapat dijadikan sebagai kejohanan tahunan.
“Terdapat 31 pasukan yang bertanding dalam kejohanan ini. Mereka
telah berjuang, bersaing dalam secara sihat dalam suasana yang harmoni,
bekerjasama antara satu sama lain.
“Kita berbangga kerana kejohanan yang bertaraf antarabangsa
ini telah dimasukkan dalam ‘World Series Adventure Racing’.
“Kita (kerajaan negeri) bersama-sama pihak penganjur akan
terus bekerjasama untuk menjadikan kejohanan ini sebagai kejohanan tahunan dan
berharap agar di kejohanan akan datang, ianya dapat menarik lebih ramai pasukan
antarabangsa dan tempatan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media
yang diadakan selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang di Royal Rainforest
Resort, di sini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Temengor, Salbiah Mohamed dan ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim.
Tambahnya lagi, menerusi kejohanan ini kesemua peserta akan
menjadi duta kecil bagi kerajaan negeri bagi mempromosikan Perak dan juga Royal
Belum.
“Dalam ucapan saya sebentar tadi, saya memohon kepada semua
peserta antarabangsa dan tempatan untuk menjadi duta kita.
“Bila mereka pulang ke Negara mereka dan tempat
masing-masing, mereka akan mempromosikan Perak dan Royal Belum sebagai khazanah
negeri dan Negara,”katanya.
Sementara itu, penganjur program, Shamsuri Abd Latiff turut
mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyokong
kejohanan ini.
“Dari maklumbalas yang kami terima daripada para peserta,
mereka kagum dengan Royal Belum dan mereka juga seronok dengan laluan yang
sangat mencabar.
“Selain itu, penganjur-penganjur bersama di dalam kejohanan
ini juga merupakan anak-anak Perak yang ingin berbakti dan memajukan semua
negeri kelahiran mereka,”katanya.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.