IKLAN


IPOH: Selepas beberapa kali bermesyuarat, projek menaiktaraf dan membaikpulih Velodrom Rakyat akhirnya telah ditetapkan setelah tinjauan turut dilakukan oleh beberapa pihak yang berkaitan ke lokasi tersebut, pagi semalam.
Antara yang turun padang meninjau velodrom tersebut ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Majlis Sukan Negeri Perak, Majlis Bandaraya Ipoh, arkitek dan juga konsultan yang berkaitan.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, beliau amat berterima kasih kepada KBS untuk komitmen dan sokongan yang diberikan bagi memastikan projek ini berjaya.
“Arkitek dan konsultan yang dilantik adalah mereka yang berdekatan dengan lokasi velodrom agar mereka dapat memahami skop kerja yang perlu dilakukan termasuk beberapa penambahbaikan kecil yang lain.
“Adalah diharapkan bahawa kerja-kerja menaiktaraf itu akan bermula pada Mei supaya ia dapat diselesaikan menjelang suku kedua tahun ini,”katanya yang juga Presiden Perak Cycling Association (PCA).
Velodrom tersebut merupakan velodrom pertama yang dibina dinegara ini hasil daripada kutipan orang ramai yang diketuai oleh Tan Sri Darshan Singh pada 1984.
Selepas mendapat perkenan daripada Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, velodrom tersebut kemudiannya dinamakan sebagai Velodrom Rakyat.
Terdahulu, PCA telah merayu kepada Kerajaan negeri dan KBS untuk memberi peruntukkan bagi membaiki Velodrom Rakyat yang kini dalam keadaan buruk dan usang.
Velodrom tersebut bukan sahaja digunakan oleh atlet-atlet negeri, juga termasuk oleh atlet-atlet dari negeri yang berdekata, terutamanya di sebelah utara tanah air.


11 Feb 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top