Saranan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah supaya semua peniaga dalam talian atau online diwajibkan mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ternyata mendapat pelbagai reaksi daripada kalangan peniaga.
Ahmad Bashah menegaskan bahawa perkara itu bertujuan untuk melindungi pengguna daripada ditipu dan dieksploitasi oleh peniaga.
Seorang peniaga secara atas talian, Muhd Syukri Mohd Tahir 25 berkata, peniaga perlu melihat saranan kementerian yang mewajibkan semua peniaga online mendaftarkan perniagaan mereka.
“Saranan untuk mendaftar SSM itu ada sebabnya. Kita lihat dari sudut yang positif.
“Sekarang ini terdapat banyak isu penipuan yang berlaku secara online dan sebagai langkah pencegahan adalah dengan mendaftarkan syarikat kita,”kata pemilik FS Rich Ventures.
Penjual barangan makanan itu berkata, apabila seseorang peniaga itu telah mendaftarkan perniagaannya dengan SSM, ianya akan dapat kepercayaan daripada pelanggan.
“Saya tidak berkata apabila peniaga itu tidak berdaftar itu tidak ash, tetapi sebagai peniaga, lebih elok kiranya daftar perniagaan walaupun sekadar menjadi dropship.
“Ianya sekadar RM60. Ini semua untuk mewujudkan kepercayaan prospek kepada kita. Kita akan dilihat sebagai peniaga yang mempunyai identity,”jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga minyak wangi dan kosmetik secara atas talian, Lisa Nurulain Sarwi 26, beliau turut bersetuju dengan saranan yang dicadangkan oleh KPDNKK.
“Sebenarnya ramai yang salah anggap. Bukan tidak boleh berniaga secara atas talian, boleh tetapi ianya perlu didaftarkan.
“Sebelum ini, pernah diwar-warkan agar penjual online ini untuk mendaftarkan perniagaan mereka di SSM, demi kepentingan pengguna dan penjual,”ujarnya.
Jelas Lisa yang mula berniaga secara atas talian sejak 2 tahun lalu, ini kerana, terdapat pelbagai aduan telah diterima berikutan berlakunya penipuan di antara pelanggan dan penjual.
“Justeru, dengan ada pendaftaran ini, ianya dapat membantu penjual dan peniaga dalam masa yang sama,”ujarnya.
Seorang lagi peniaga pakaian, Nazwan Fazli Azizi 24 berkata, beliau menyambut baik saranan KPDNKK yang mahukan peniaga online mendaftarkan syarikat mereka walaupun menjual melalui internet.
“Pada saya, setiap perniagaan perlu didaftarkan supaya tidak akan berlaku penipuan di antara pelanggan dan peniaga. Ianya melindungi kedua-dua pihak.
“Selain itu, pelanggan juga akan lebih percaya dengan perniagaan kita jika mereka melihat bahawa syarikat kita telah berdaftar dengan SSM,”kata pemilik Mimpi Clothing itu lagi.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.